Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Sunday 24 April 2011

Cerpen: DIA YAHUDI ( Bahagian 1/2)


SEBAIK sahaja menjejakkan kaki di kafeteria bangunan Marquette University Alumni Union, bebola mata Salehuddin liar mencari sesusuk tubuh milik David Robbins. Entah apa sebabnya David ingin berjumpa dengannya, Salehuddin sendiri kurang pasti.

Semalam, selepas tamat kuliah Middle Eastern History, David Robbins menahan Salehuddin di luar pintu. Katanya, dia ingin berbicara dengan Salehuddin pada esok hari di kafeteria ini pada jam 2.30 petang. Macam mustahak sangat bunyinya. Salehuddin menerima pelawaan itu, walaupun dia hanya mengenali David Robbins sebagai salah seorang teman sekuliahnya.

David masih belum tiba lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 2.20 petang. Mungkin David sedang dalam perjalanan ke sini. Salehuddin berjalan menuju ke kaunter makanan dan minuman. Perutnya terasa sangat lapar. Suhu musim salju yang terlampau dingin di Milwaukee membuatkan perut sering menjerit minta diisi.

Setelah membayar harga makanan dan minuman, Salehuddin memilih untuk duduk di meja yang berhampiran dengan kaunter bayaran supaya mudah David mencarinya nanti.

Roti sandwich berinti tuna disuap ke dalam mulut. Walaupun sudah lebih setahun bermukim di negara ini, anak tekak Salehuddin masih mengidamkan teh tarik, roti canai dan nasi lemak. Bila berada di perantauan, kita akan merindui makanan dan minuman yang selalu kita makan di negara asal. Cuma tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Salehuddin tamat pengajian dan pulang ke tanah air.

Salehuddin tidak sedar entah bilakah masanya David Robbins sampai. Tahu-tahu sahaja, lelaki muda bertubuh tinggi lampai dan berusia pada awal dua puluhan itu sudah berdiri tercegat di hadapannya.

“Maafkan aku kerana terlewat. Lama kau menunggu?” kata David. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk bersalaman dengan Salehuddin.

“Tak mengapa. Aku yang sampai terlalu awal,” balas Salehuddin sambil menyambut tangan David.

“Aku kebuluran. Seharian perutku tidak diisi. Jadualku pada hari ini begitu padat. Aku harap kau tidak kisah menunggu di sini sebentar. Aku ingin membeli makanan dan minuman,” kata David.

Salehuddin mengangguk sebagai tanda bersetuju. Selang beberapa minit kemudian, David kembali dengan membawa dulang yang berisi sekeping pizza pepperoni bersaiz kecil dan segelas besar air Coca-Cola. Salah satu makanan ruji rakyat Amerika.

“Kau mahu sepotong?” David menawarkan sepotong pizza kepada Salehuddin.

“Tak mengapa, aku sudah kenyang. Lagipun, aku tak makan daging khinzir.”

“Mengapa?” tanya David. Kehairanan jelas terbayang di wajahnya.

“Agamaku melarang penganutnya memakan daging khinzir. Aku orang Islam.”

“OK,” kata David.

“Firasat aku kuat mengatakan kau bukan berasal dari negara ini.” Mulutnya cergas mengunyah pizza.

“Ya. Aku berasal dari Malaysia. Kau pernah dengar tentang Malaysia?”

“Aku mungkin pernah mendengar satu dua perkara tentang negara asalmu. Tetapi aku kurang pasti di mana lokasi Malaysia dalam peta dunia.”

“Sebuah negara yang terletak di antara Thailand di sebelah utara dan Singapura di sebelah selatan,” jelas Salehuddin. Itulah jawapan yang biasa diberikan setiap kali orang di sini bertanya di mana letaknya Malaysia.

Aneh. Kebanyakan orang Amerika tahu di mana letaknya Singapura dan Thailand, tetapi tidak tahu di mana letaknya Malaysia. Mungkin mereka sengaja tidak mahu ambil tahu.

“Sekarang baru aku tahu,” kata David.
Coklat panas yang masih berbaki separuh cawan dihirup oleh Salehuddin sehingga habis.

“Kau tahu, gaya penulisan kau memang menarik. Tak hairanlah dalam kelas semalam Dr Stevens memuji esei yang kau tulis. Jika orang tidak tahu, mungkin mereka sangka engkau ialah seorang rakyat Amerika. Mungkin kau patut mempertimbangkan kerjaya dalam bidang penulisan selepas menerima ijazah nanti,” kata David.

Dr Stevens memberikan Salehuddin gred A bagi esei yang bertajuk Jewish Occupation in Palestine. Sebelum kuliah dimulakan, Dr Stevens mengagih- agihkan salinan esei itu kepada setiap pelajar di dalam kelas. Tentu David telah membaca esei itu.

“Terima kasih, pujian kau terlalu melambung tinggi. Aku perlu berfikir banyak kali jika ingin bergiat dalam bidang penulisan. Itupun kalau aku sanggup hidup dalam kebuluran,” kata Salehuddin.

Sambungnya lagi, “Namun, aku percaya Dr Stevens lebih mementingkan isi kandungan berbanding dengan gaya penulisan.”

“Aku kurang bersetuju. Padaku, kau tidak menjalankan kajian yang terperinci semasa menulis esei itu. 

Hujah-hujahmu berat sebelah. Tajuk eseimu jelas membayangkan bangsa Yahudi yang sepatutnya dipersalahkan kerana menduduki bumi Palestin.” Salehuddin terkejut dengan kata-kata David.

“Aku menulis tentang perkara yang sebenarnya berlaku di Palestin. Aku menulis esei itu setelah menjalankan kajian yang terperinci. Apa yang aku tulis adalah fakta, bukannya khayalan. Memang benar bangsa Yahudi yang menceroboh Palestin dan mendudukinya secara haram. Memang benar Israel yang menjadi punca kepada segala konflik dan ketegangan di Timur Tengah. Tidak keterlaluan jika aku katakan bangsa Yahudi juga bertanggungjawab di atas suasana kacau-bilau dan huru-hara yang melanda dunia dari dulu sampai sekarang.”

David kelihatan seperti tidak senang duduk. Dia membalas hujah Salehuddin, “Bangsa Yahudi memang berhak untuk menubuhkan negara Israel. Setelah sekian lama kami hidup berkelana di negara-negara lain, kami ingin kembali ke tanah asal kami. Tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi. Kami bukan penceroboh.

“Kami? Salehuddin berasa pelik bila mendengar David menyebut perkataan kami. Yahudikah dia? 

Jika benar dia Yahudi, mengapa pula nama keluarganya lebih mirip kepada nama keturunan Anglo?

“Maafkan aku, David. Tadi aku terdengar kau menyebut perkataan kami. Apakah engkau seorang Yahudi?” Salehuddin bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Benar, aku memang seorang Yahudi. Apa engkau ada masalah dengan hakikat itu?”


Bersambung........



Karya Husaini Amran
Dipetik dari Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment