Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Tuesday 27 September 2011

Majlis Keselamatan PBB mula proses permohonan Palestin



NEW YORK, 27 Sept — Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berbelah bahagi telah mengadakan mesyuarat tertutup semalam — perbincangan sulung ke atas permohonan Palestin bagi mendapatkan status anggota tetap dan diiktiraf sebagai negara bebas.
Palestin mengemukakan permohonan mereka Jumaat lalu.
Bagaimanapun para pemerhati melihat usaha itu akan menemui kegagalan.
Pertemuan semula memulakan satu proses perbincangan yang dijangka akan mengambil masa beberapa minggu.
Perbincangan semalam ditangguhkan sejam selepas Duta Lebanon ke PBB Nawaf Salam, pengerusi Majlis Keselamatan bulan ini, memberitahu badan 15 anggota itu akan mengadakan satu mesyuarat Rabu ini untuk merujuk perkara tersebut kepada jawatankuasa kemasukan.
“Proses sudah bermula dan kami berharap Majlis Keselamatan akan memikul tanggungjawabnya dan menyelesaikan permohonan ini dengan satu sikap positif,” kata wakil Palestin di PBB Riyad Mansour kepada pemberita.
“Ini satu tugas di mana akan ada tekanan besar daripada beberapa negara anggota ke atas Majlis Keselamatan, tetapi kami percaya kami ada ramai kawan di majlis,” katanya lagi.
Dalam langkah dramatik Jumaat lalu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengemukakan permohonan negara itu menjadi anggta penuh di PBB, tetapi usaha itu dibantah oleh Amerika Syarikat dan Israel.


PALESTIN MASIH PERLUKAN 9 UNDI

NEW YORK 26 Sept. - Permohonan Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara mula dibahaskan oleh Majlis Keselamatan PBB hari ini, tetapi dijangka menghadapi cabaran getir bagi memperoleh sembilan undi yang masih diperlukan untuk kelulusan.

Tanpa undi minimum tersebut dalam badan yang terdiri daripada 15 anggota itu, Amerika Syarikat (AS) akan terlepas daripada keperluan untuk menggunakan kuasa vetonya bagi menyekat permohonan Palestin.

Ketika perbincangan formal bermula, diplomat berkata, Palestin hanya dapat memastikan enam undi sokongan dalam Majlis Keselamatan iaitu daripada China, Rusia, Brazil, Lebanon, India dan Afrika Selatan.

Tiga negara anggota bukan tetap, Gabon, Nigeria dan Bosnia belum mendedahkan sama ada mereka akan mengundi untuk menyokong keanggotaan Palestin.

"Jika pengundian diadakan hari ini, Palestin tidak akan mendapat cukup undi yang diperlukan dan AS tidak perlu menggunakan kuasa vetonya," kata seorang diplomat Barat.

Lazimnya Majlis Keselamatan tidak mengambil masa melebihi 35 hari untuk mengkaji dan menilai permohonan bagi menganggotai PBB.

Pada Julai lalu, permohonan Sudan Selatan, negara anggota PBB ke-193 dan terbaru menyertai badan dunia itu, diluluskan dalam masa beberapa hari sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk pengesahan.


Sumber :

http://www.themalaysianinsider.com

Tuesday 20 September 2011

Reaksi Eropah : Pengiktirafan Palestin Sebagai Negara Berdaulat



Akhirnya, September telah tiba dan masyarakat serta institusi antarabangsa akan diuji apabila mereka mengundi atau menolak sebuah kerajaan Palestin dalam mesyuarat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir bulan ini.
Menurut pihak berkuasa Palestin, manakala lebih daripada 122 buah negara di seluruh dunia telah mengisytiharkan niat mereka yang positif dan sokongan kepada Palestin sebagai ‘negeri nombor 194,’ keputusan negara-negara Eropah masih penting.
Hal ini bukan sahaja kerana negara-negara Eropah adalah ahli-ahli Majlis Keselamatan, tetapi juga kerana keputusan kolektif atau negara-negara individu akan menunjukkan sekali lagi sejauh mana politik boleh menghancurkan nilai-nilai moral dan etika.
Pada bulan Mei 2010, negara-negara Eropah yang menyertai Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi telah gagal dalam ‘ujian’ [yang seumpama perkara di atas] di mata rakyat Palestin dengan menerima negara Israel sebagai ahli dalam pertubuhan mereka. Adakah Eropah akan mengimbangi ‘kegagalan’ mereka itu kali ini?
Adakah Eropah akan mengundi ‘ya’ untuk sebuah negara Palestin di atas sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negerinya dan
mencapai satu langkah di hadapan dalam penyelesaian dua-negara bersama; membawa hasil yang konkrit untuk sejumlah besar bantuan yang telah mereka hantar kepada rakyat Palestin?
Atau negara-negara Eropah akan terus mengekalkan konflik Palestin-Israel dan pendudukan Israel dengan berdiam diri dalam saat penting seperti ini?
Beberapa belon ujian telah dihantar untuk memeriksa tindak balas terhadap Palestin dalam sejumlah formulasi Eropah yang berbeza.
Antaranya ialah yang telah disiarkan baru-baru ini oleh Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, yang menggesa pihak berkuasa Palestin untuk menerima status yang sama seperti Vatican. Cadangan seperti ini menunjukkan kesukaan EU untuk hanya belegar-legar di sekitar konflik dan tidak menangani akarnya. Cadangan Sarkozy itu akan terus mengekalkan status quo dan tidak akan pernah membawa keamanan kepada rantau ini atau pembebasan buat mereka yang telah teraniaya.
Sebagai seorang belia Palestin yang sedang belajar di Eropah; yang mendapat faedah daripada nilai-nilai umum Eropah terhadap menghormati
manusia lain dan kebebasan mereka, saya berharap agar bahawa Eropah akan tetap menegakkan nilai-nilai mereka ini.
Jadi Britain, adakah anda akan mengingati peranan anda semasa awal waktu konflik [Palestin-Israel] dan turut mengingati sokongan popular yang besar di UK untuk rakyat Palestin?
Bagaimana pula dengan anda Perancis, adakah anda akan menjaga reputasi anda sebagai ‘Tanah Kebebasan’ jika anda menafikan hak rakyat Palestin
untuk bebas?
Ciao Itali, bolehkah anda melupakan warganegara anda seperti Vittorio Arrigoni dan lain-lain yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk
menyokong rakyat Palestin?
Guten Tag Jerman, kita memahami bahawa apa sahaja yang anda lakukan tidak akan pernah cukup untuk Israel; tetapi, sebagai sebuah kuasa yang hebat bagaimana anda boleh menerima hakikat bahawa setiap hari ‘Holocaust’ dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin? Bilakah anda akan melihat bahawa sudah tiba masanya untuk keadilan bertambah di dunia ini dan rasa bersalah pula berkurangan?
Grüezi Switzerland, Palestin dan Israel melihat anda sebagai sebuah syurga di bumi ini. Adakah anda akan mengambil masa yang lama untuk mengubah Tebing Barat dari gambar keju Swiss yang penuh dengan lubang-lubang Israel ke arah syurga keamanan kecil yang lain?
Belgium, adakah anda masih ingat bahawa anda telah mengisytiharkan Palestin sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara – hanya beberapa bulan yang lalu, sebagaimana kami yang sedang menunggu untuk meraikan sebuah detik gembira dengan coklat lazat dari negara anda?
Hola Sepanyol, kami sedang bergantung kepada anda untuk menolak keengganan EU sekarang ke arah menyokong sebuah negara Palestin – kami
berharap agar kami boleh bergantung kepada kawan-kawan rapat kami.
Negara-negara Scandinavia, anda begitu bermurah hati dalam bantuan kewangan anda kepada rakyat Palestin – adakah anda akan bermurah hati
dengan sokongan politik anda kali ini?
Poland, kami menunggu berita baik yang akan datang dari negara anda.
September akan menjadi saat penentu kebenaran untuk orang-orang Eropah; jumlah undian akan melebarkan jurang antara wacana dan nilai-nilai Eropah. Kami berharap untuk ‘ya’, tetapi kita takut kepada ‘tidak’. Tetapi harapan kami yang lebih besar ialah untuk melihat Eropah mula mengaplikasi nilai-nilai mereka sendiri dalam urusan mereka dengan Palestin dan Israel. 

Tuesday 6 September 2011

Tiada Beza Ramadan, Syawal Bagi Warga Palestin Di Malaysia




KUALA LUMPUR: Warga Palestin di sini hidup bersama masyarakat majmuk Malaysia dan sebagai Muslimin mereka juga berkongsi banyak persamaan dengan ummah di sini.

Oleh itu bagi kira-kira 1,000 anggota masyarakat Palestin di Malaysia, yang kebanyakannya penuntut dan berkhidmat dalam jurusan akademik, berpuasa semasa Ramadan dan meraikan 1 Syawal (Hari Raya/Aidilfitri) tidak menjadi masalah kepada mereka.

Muslim Abu-Umar, seorang daripada masyarakat Palestin di Malaysia, menjelaskan kepada Bernama pada satu majlis berbuka puasa di sini baru-baru ini, bahawa terdapat persamaan dan kelainan dalam menyambut Ramadan di Malaysia dan Palestin.

PERSAMAAN DAN PERBEZAAN

Mengenai persamaan Muslim berkata bahawa; "Di Palestin kami juga mempunyai bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah dan keperluan lain bagi Syawal.

"Seperti di Palestin, kami melihat pilihan juadah dan barangan yang banyak dan kami suka dengan juadah-juadah yang terdapat di bazar Ramadan di sini".

Rakyat Palestin juga berbuka secara berkumpulan dan majlis berbuka dengan rakan-rakan di Malaysia di sini membuatkan mereka lebih selesa.

Mengenai perbezaan, Muslim menunjukkan sementara rakyat Palestin menyambut Ramadan dan Syawal, Aidiladha (Hari Raya Haji) diraikan dengan lebih meriah.

"Semasa Syawal dan Aidiladha, kami tidak menghidangkan 'ketupat' dan 'rendang' seperti yang dinikmati di sini. Tetapi kami mempunyai juadah tradisi sendiri seperti mahashi," katanya.

Mahashi adalah hidangan seperti roti yang berintikan sayur-sayuran seperti terung, labu kecil, kentang dan lobak merah dan dedaun seperti daun anggur serta kubis.

Mahashi memerlukan masa dan kesabaran untuk disediakan dan dengan itu ia disediakan sehari lebih awal sebelum dimasak dan dihidangkan pada perhimpunan besar.

"Kami juga mengunjungi sahabat handai dan keluarga semasa sambutan. Tetapi, tidak banyak rumah terbuka seperti di sini. Di Malaysia, kami warga Palestin akan menganjurkan majlis rumah terbuka semasa 1 Syawal," katanya.

Muslim terpaksa menyerah kepada takdir yang beliau tidak akan dapat pulang ke tanahairnya sempena Syawal ini kerana keadaan tidak menentu di Palestin buat masa ini dan sebaliknya akan meraikan Ramadan dan Syawal bersama rakan-rakan Malaysia.

BALIK KE PALESTIN

Bagi Saad Adeeb, 26, walaupun berada jauh daripada keluarganya, beliau mempunyai rakan-rakan Palestin di sini dan rakyat Malaysia yang mesra untuk menemaninya dalam meraikan Ramadan dan Syawal.

Beliau menikmati banyak daripada juadah Malaysia khasnya 'nasi goreng ayam'.

"Saya mempunyai ramai rakan Melayu yang menjemput saya ke rumah-rumah terbuka mereka sempena Aidilfitri," katanya.

Saad juga menyatakan kekagumannya selepas melawat beberapa negeri di Malaysia - Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor - yang menyebabkan beliau lebih tertarik dengan negara tuan rumah.

Walaupun perbezaan dalam budaya wujud antara warga Malaysia dan Palestin, Saad menunjukkan bahawa keikhwanan menerusi Islam telah membantu mengatasi jurang itu.

Beliau adalah seorang penuntut dalam bidang komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di Gombak. Beliau tiba di sini pada 2006 dan sejak itu belum pernah pulang.

"Saya mahu pulang ke Palestin tetapi ia bukan mudah kerana larangan perjalanan yang dikenakan oleh pihak Israel. Tugas saya di sini ialah belajar gigih demi masa depan keluarga dan demi kebanggaan negara saya," katanya.

ARAFAT RINDU AKAN ABANGNYA

Arafat Shabana, 27, seorang penuntut kejuruteraan di IIUM berharap beliau akan bersua semula dengan abangnya yang merengkok di penjara Israel selama lebih 20 tahun kerana dikatakan berjuang bagi Palestin.

"Saya sangat merinduinya dan lagipun beliau berada di penjara sejak saya berusia tujuh tahun," katanya.

Arafat percaya yang abangnya tidak bersalah dan berharap akan dibebaskan dengan kadar segera dan bersatu semula dengan keluarga.

Ayah Arafat meninggal dunia lapan tahun yang lepas.

Apabila beliau menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kali empat tahun yang lepas, Arafat berasa bagaikan orang asing tetapi perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara baru.

Setiap Ramadan beliau berdoa kepada Allah agar abangnya dibebaskan, dan bagi semua warga Palestin dan ummah di seluruh dunia supaya dapat hidup aman dan harmoni.

Sementara itu, bagi Hassan Imran, 20, sepucuk surat tawaran daripada IIUM untuk pengajian ijazah berkembar sains politik dan ekonomi pada 2009 membawa beliau ke Malaysia.

IIUM mempunyai masyarakat penuntut Palestin yang aktif memainkan peranan penting dalam menyebarkan kisah kesengsaraan yang diharungi oleh masyarakat Palestin akibat kekejaman regim Israel.

Hassan yang suka 'nasi goreng kampung' dan 'nasi goreng kunyit' berharap untuk belajar setinggi yang mungkin dan kembali ke tanahairnya dengan segulung ijazah.

BERNASIB BAIK UNTUK BERADA DI MALAYSIA

"Assalamualaikum" adalah perkataan pertama daripada pemuda ini, Yassar Al-Shareef, 17, yang tiba di Malaysia dua bulan yang lepas untuk belajar bahasa Inggeris di Elite Language Centre di Kuala Lumpur.

"Saya mahu belajar bahasa Inggeris di sini kerana Malaysia adalah negara Islam yang membuka pintu dengan ikhlas kepada kami," katanya.

Walaupun ini kali pertama beliau berada jauh dari keluarga, namun mempunyai azam yang kuat serta sokongan daripada keluarganya untuk menamatkan pengajian dengan jayanya.

Beliau mengakui amat merindui keluarganya di kampung halaman tetapi berbangga berpeluang belajar di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sangat maju.

Diiringi ramah mesra rakyat Malaysia yang tidak asing, warga Palestin di sini mempunyai tempat untuk meneruskan kehidupan di samping menunaikan satu daripada rukun Islam yang penting -berpuasa- bersama saudara Muslimin di sini.

Sumber- BERNAMA



Thursday 1 September 2011

Aidilfitri Di Palestin

DIKAWAL KETAT: Seorang anggota keselamatan kumpulan Hamas mengawal keadaan sedang penduduk bandar Khan Younis, di selatan Jaluran Gaza, menunaikan solat Aidilfitri kelmarin. -- Foto AFP



SEMENANJUNG GAZA: Ketika umat Islam di serata dunia meraikan kedatangan Aidilfitri dengan gembira, penduduk Palestin di Jaluran Gaza menyambutnya dalam suasana duka walaupun semangat mereka tetap teguh.


Encik Mohammed Bashala, seorang nelayan, pada kebiasaannya akan membeli pakaian untuk anak-anaknya sebelum Aidilfitri.


Namun, sejak Israel melakukan sekatan di Jaluran Gaza, beliau mendapati amat sukar mencari rezeki bagi memenuhi keperluan keluarganya.


Dulu, sebelum sekatan tersebut dilakukan, nelayan berusia 43 tahun dan bapa tujuh anak itu bebas meneroka laut dan pulang dengan hasil tangkapan demi menampung keperluan keluarga.


Walau bagaimanapun, sejak sekatan itu, Encik Mohammed hanya boleh menangkap ikan di kawasan yang terhad, menyebabkan ekonomi keluarganya semakin terhimpit.


'Saya tiada wang untuk diberikan kepada anak-anak saya. Kami hanya bergantung pada sedekah daripada mereka yang murah hati.


'Biasanya saya mendapat sehingga AS$7 ($8.40) hasil tangkapan ikan sehari tetapi jumlah ini jauh daripada cukup untuk membeli barangan makanan asas,' jelasnya.


Sementara itu, seorang kakitangan kementerian pertanian, Encik Ahmed, berkata beliau masih belum menerima gaji yang sudah tertangguh sejak dua bulan akibat 'krisis gaji' yang berpunca daripada masalah kewangan.


Selain masalah ekonomi, kehidupan sosial di Jaluran Gaza juga diselubungi suasana muram.


Beberapa keluarga juga menyatakan rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan anggota yang telah dipenjara oleh rejim Israel.


Sementara itu, seorang penduduk Gaza, Cik Jihan Abu Khalaf, yang berkahwin dengan penduduk tempatan pada 1998, berkata beliau terpisah dengan keluarganya di bandar Hebron di Tebing Barat sejak sembilan tahun lalu kerana sekatan yang dikenakan Israel terhadap pergerakan di antara kedua-dua wilayah itu.


Wanita yang berasal dari Hebron itu amat kecewa kerana tidak dapat bertemu ibunya pada Hari Raya.


Bapa Cik Jihan meninggal dunia semasa beliau terperangkap di Jaluran Gaza.


Beberapa penduduk di sini, bagaimanapun, berusaha mewujudkan keceriaan Aidilfitri dengan mengunjungi rakan-rakan mereka bagi meringankan kesedihan yang ditanggung.


Encik Mohammed Nabeel Abu Selmeya, yang kehilangan sembilan anggota keluarga dalam satu serangan Israel yang memusnahkan rumahnya pada tahun 2006, cuba menghidupkan suasana lebaran dengan menyediakan jamuan untuk rakan-rakannya.


Namun, ingatan getir itu terlalu sukar dilupakan.


Hanya beliau dan adik lelakinya yang terselamat daripada serangan itu.


'Saya sudah mencuba sedaya upaya untuk melupakan kisah duka itu, tetapi amat sukar merayakan Aidilfitri apabila adik-beradik dan ibu bapa sudah tiada,' katanya

Sumber : http://mstar.com.my/berita/luar_negara/cerita.aspfile=/2011/8/31/mstar_luar_negara/20110831102413&sec=mstar_luar_negara