Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Monday, 31 October 2011

Cerpen : Mata Rafeeq


Rafeeq menyelak jendela. Lantas merebahkan diri ke atas katil. Seusai saja kuliah, dia bergerak pulang. Tidak ada yang menarik hatinya untuk melencong ke tempat lain. Tidak seperti biasa, Rafeeq kini banyak mendiamkan diri. Dia sendiri berasa hairan dengan dirinya.

“Mungkin sejak peristiwa itu.” Hati Rafeeq tergetus, selepas saja menyoal hatinya perihal yang sama. Sebelum ini, Rafeeq lah yang selalu mencipta suasana harmoni dalam kalangan kawan-kawannya ketika berbual. Dialah juga yang selalu mencetuskan suasana meriah dalam satu-satu longgokan usrah bersama kawan-kawannya. Kini, sesiapa saja yang melihat Rafeeq, sudah pasti berasa janggal dengan Rafeeq.

“Rafeeq, aku minta maaf kalau soalan aku ni menyinggung kau. Tapi aku dah lama nak tanya fasal ni. Semenjak dua menjak ini, aku tengok kau selalu saja berseorangan. Muka muram. Balik kuliah seorang diri, termenung seorang diri, makan pun kau tak tegur dengan kami, berkurung dalam bilik saja. Kenapa ni Fiq?” Ainul Marzuqi, rakan sehidup semati Rafeeq menembak soalan, ingin menyirnakan rasa gusar terhadap rakan rapatnya itu. Nada seorang rakan yang mengambil berat membaluti suaranya.

Rafeeq segera mengangkat badannya yang rebah di atas katil. Lantas mengoyakkan senyuman ke arah Ainul Marzuqi. Berusaha menyelindung kebenaran soalan yang diajukan itu.

“Ah, tak adalah. Mana ada apa-apa. Aku biasa saja.” Senyum Rafeeq melebar. Menutup penuh keraguan Ainul terhadapnya.

“Rafeeq, aku kenal kau lah. Kau bukannya jenis yang mengadu kat orang tentang masalah kau. Tak kan dengan aku pun kau nak berahsia. Apa guna kita berukhuwah. Kata ukhuwah fillah. Masa inilah kau perlu buktikan yang kau anggap aku ini saudara kau kerana Allah.”

Sudah diakui ramai, hubungan dua sahabat ini memang tidak dapat diragukan keakrabannya. Di dunia perantauan itu, sahabat-sahabat adalah lubuk mengadu kasih. Lebih-lebih lagi, hubungan saudara yang menjunjung nama Rabb nya. Rafeeq dan Ainul Marzuqi bukti hubungan persaudaraan kerana Allah. Tidak pernah meninggalkan rakan menanggung perasaan seorang diri. Pasti ada perkongsian. Pasti ada huluran tangan.

Rafeeq tersenyum. Dia berasa hatinya menjadi lebih ringan. Seolah beban masalah itu diangkut sebahagiannya oleh Ainul.

“Betul, tak ada apalah, Ainul. Terima kasih, sebab ambil berat fasal aku.” Rafeeq bernada yakin. Ingin melunaskan kerut dahi Ainul.

Resam ukhuwah kerana Allah, seorang ingin sama-sama berkongsi beban, seorang lagi berusaha menyoroknya.

Azan Maghrib menghembuskan bayu Islam di bumi nabi Musa itu. Biasanya, kedengaran suara Rafeeq mengalunkan Quran dalam solat di masjid berdekatan. Disebabkan kemerduan suaranya, dia dilantik sebagai imam oleh warga Arab di kawasan itu. Seusai solat maghrib, Rafeeq pulang ke rumah, terfikirkan gilirannya memasak jatuh pada hari ini.

Tidak semena-mena, satu letupan kuat muncul dari belakang Rafeeq. Tempikan dari beberapa suara warga Arab menambahkan rasa cemas Rafeeq. Rafeeq menjadi kaku. Kakinya seolah dibuang semua sarafnya. Hanya mampu diam berdiri dan melihat satu bangunan tiga tingkat mengeluarkan api besar dan asap hitam. Masyarakat Arab semakin ramai mendekatinya.

“Apa berlaku? Apa berlaku?” Tanya sebahagian Arab yang mengerumuni. Rafeeq masih terdiam. Walau dia mendengar dan memahami apa yang disoalkan.

“Ada rumah terbakar. Litar lintas.” Seorang dewasa Arab, yang tahu hal sebenar, menerangkan. Masing-masing kalut. Ada yang sedang pegang telefon. Ada yang bergegas berlari menuju ke bangunan itu, untuk menyelamatkan penduduk berdekatan. Ada juga yang hanya mampu memandang, seperti Rafeeq.

Siren ambulans dan polis menyaluti iklim. Musim sejuk yang bertandang di hawa Zagazig itu sirna, dek haba yang merobak. Rakan –rakan Melayu juga turun padang, bertindak apa yang perlu. Mahasiswa Zagazig terkenal dengan rasa prihatin, hasil kesedaran yang dibajakan oleh senior-senior terdahulu. Tidak ketinggalan, rakan –rakan serumah Rafeeq. Ainul Marzuqi, Amirul Hadi, dan Zul Faiz.

Rasa hairan sekali lagi menyelubungi fikiran Ainul. Rafeeq tidak bertindak apa-apa ketika kejadian. Membantu tidak, selamatkan diri pun bukan. Sungguh menyimpang dari tindakan manusia biasa. Dia bercita-cita untuk mati syahid kah? Kalau nak mati syahid, lebih baik pergi selamatkan orang kat situ. Ainul terus bermonolog dalaman. Satu demi satu teka teki dijawabnya.

Kini keadaan kembali reda. Masih tinggal suara yang menangisi jiwa yang hilang.  Semua mahasiswa Melayu beransur pulang.

“Ah letihnya. Tapi nasib baiklah kita sempat selamatkan budak –budak yang hampir kemalangan tadi.” Amirul Hadi meregangkan otot bahu, sambil wajah terpampang rasa puas. Zul Faiz juga tersenyum, walau muka tampak letih. Mereka tidak bersembang lama. Segera beradu di bilik masing-masing.

Rafeeq sampai di muka pintu rumah. Ainul yang berada di ruang tetamu bertekad menegurnya.

“Rafeeq , aku rasa kau ni….”

“Ainul, aku nak bercakap sikit dengan kau.”

“Ok, jom.”

"Baik, inilah masa aku merungkai masalah kawan aku rahsiakan selama ini." Ainul bermonolog sendiri.

Rafeeq memasuki bilik. Ainul setia mengikut. Ainul melebarkan langkah lalu mendahului Rafeeq, untuk menatap wajahnya. Mata Ainul terbeliak pabila riak wajah Rafeeq kelihatan berubah. Seakan-akan menahan esakan. Matanya kemerahan. Rafeeq memeluk sahabatnya itu. Erat.

“ Ainul, aku minta maaf kalau selama ini aku buat kau  risau pada aku. Aku sebenarnya ada satu rahsia yang belum aku ceritakan pada kau.”

“Apa dia, Fiq?” Ainul setia menadah jawapan dari Rafeeq.

“Abang aku…dia meninggal. Sejak dalam misi bantuan kemanusiaan ke Palestin bawah NGO yang dia sertai sebelum ini.”

“Innalillahi wainna ilaihi raji’uun” Ainul mengungkap kalimah yang mengakui pengembalian manusia itu kepada Allah. “Bila, Rafeeq?”

“Minggu lepas..”

“Jadi, itulah yang buatkan kau sedih selama ini?”

“Tidak. Bukan itu.”

Hairan Ainul bertambah. "Habis, kenapa?"

Rafeeq tidak dapat menahan esakan. Kaca-kaca  terbit dari pelupuk mata.

“Aku terfikir, apa yang aku buat untuk Palestin dan negara-negara Islam lain. Masa kejadian tadi, tindakan aku kelu, sebab fikirkan letupan tadi adalah letupan dari Palestin, dan aku tidak mampu bertindak, seperti  masyarakat mereka bertindak. Mata aku hanya melihat. Hati aku tak dapat buat apa –apa.”

Tangisan Rafeeq semakin laju. Tanpa disedari, permukaan mata Ainul juga sudah berkaca.

“Sabarlah.” Ainul menahan sebak, sambil menggosok belakang Rafeeq.

“Kita mengaku berukhuwah kerana Allah. Tapi tak dapat buat apa-apa. Aku rasa macam hipokrit.” Rafeeq terus tertunduk.

“Rafeeq, bertenang Rafeeq. Aku faham perasaan kau.  Kita ini tidak sempurna Rafeeq. Tapi perlu berusaha menjadi sempurna. Sekarang kau sudah ada kesedaran. Kesedaran inilah permulaan, Fiq. Permulaan untuk melangkah ke alam pejuang.”

Rafeeq mengelap pipi. Ainul pula sedang menyerap perasaan Rafeeq. Pertama kali sahabatnya itu menangisi amanah itu. Tangan Rafeeq digondol erat. Bayu persahabatan masih mekar antara mereka. Mata hitam Rafeeq kian tiada, bagai matahari yang lari dikejar senja. Kepenatan barangkali. Malam itu Rafeeq tidur dengan esakan. Dia tidak tahu, nafas itu adalah nafas terakhir dituliskan untuk Rafeeq.

BudakSkema

No comments:

Post a Comment