SEBAIK sahaja menjejakkan kaki di
kafeteria bangunan Marquette University Alumni Union, bebola mata Salehuddin
liar mencari sesusuk tubuh milik David Robbins. Entah apa sebabnya David ingin
berjumpa dengannya, Salehuddin sendiri kurang pasti.
Semalam, selepas tamat kuliah Middle
Eastern History, David Robbins menahan Salehuddin di luar pintu. Katanya, dia
ingin berbicara dengan Salehuddin pada esok hari di kafeteria ini pada jam 2.30
petang. Macam mustahak sangat bunyinya. Salehuddin menerima pelawaan itu,
walaupun dia hanya mengenali David Robbins sebagai salah seorang teman
sekuliahnya.
David masih belum tiba lagi. Jam di
tangan menunjukkan pukul 2.20 petang. Mungkin David sedang dalam perjalanan ke
sini. Salehuddin berjalan menuju ke kaunter makanan dan minuman. Perutnya
terasa sangat lapar. Suhu musim salju yang terlampau dingin di Milwaukee
membuatkan perut sering menjerit minta diisi.
Setelah membayar harga makanan dan
minuman, Salehuddin memilih untuk duduk di meja yang berhampiran dengan kaunter
bayaran supaya mudah David mencarinya nanti.
Roti sandwich berinti tuna disuap ke
dalam mulut. Walaupun sudah lebih setahun bermukim di negara ini, anak tekak
Salehuddin masih mengidamkan teh tarik, roti canai dan nasi lemak. Bila berada
di perantauan, kita akan merindui makanan dan minuman yang selalu kita makan di
negara asal. Cuma tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Salehuddin tamat
pengajian dan pulang ke tanah air.
Salehuddin tidak sedar entah bilakah
masanya David Robbins sampai. Tahu-tahu sahaja, lelaki muda bertubuh tinggi
lampai dan berusia pada awal dua puluhan itu sudah berdiri tercegat di
hadapannya.
“Maafkan aku kerana terlewat. Lama kau
menunggu?” kata David. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk bersalaman dengan
Salehuddin.
“Tak mengapa. Aku yang sampai terlalu
awal,” balas Salehuddin sambil menyambut tangan David.
“Aku kebuluran. Seharian perutku tidak
diisi. Jadualku pada hari ini begitu padat. Aku harap kau tidak kisah menunggu
di sini sebentar. Aku ingin membeli makanan dan minuman,” kata David.
Salehuddin mengangguk sebagai tanda
bersetuju. Selang beberapa minit kemudian, David kembali dengan membawa dulang yang
berisi sekeping pizza pepperoni bersaiz kecil dan segelas besar air Coca-Cola.
Salah satu makanan ruji rakyat Amerika.
“Kau mahu sepotong?” David menawarkan
sepotong pizza kepada Salehuddin.
“Tak mengapa, aku sudah kenyang.
Lagipun, aku tak makan daging khinzir.”
“Mengapa?” tanya David. Kehairanan
jelas terbayang di wajahnya.
“Agamaku melarang penganutnya memakan
daging khinzir. Aku orang Islam.”
“OK,” kata David.
“Firasat aku kuat mengatakan kau bukan berasal dari negara ini.”
Mulutnya cergas mengunyah pizza.
“Ya. Aku berasal dari Malaysia. Kau
pernah dengar tentang Malaysia?”
“Aku mungkin pernah mendengar satu dua perkara tentang negara asalmu. Tetapi
aku kurang pasti di mana lokasi Malaysia dalam peta dunia.”
“Sebuah negara yang terletak di antara
Thailand di sebelah utara dan Singapura di sebelah selatan,” jelas Salehuddin.
Itulah jawapan yang biasa diberikan setiap kali orang di sini bertanya di mana
letaknya Malaysia.
Aneh. Kebanyakan orang Amerika tahu di
mana letaknya Singapura dan Thailand, tetapi tidak tahu di mana letaknya
Malaysia. Mungkin mereka sengaja tidak mahu ambil tahu.
“Sekarang baru aku tahu,” kata David.
Coklat panas yang masih berbaki
separuh cawan dihirup oleh Salehuddin sehingga habis.
“Kau tahu, gaya penulisan kau memang menarik.
Tak hairanlah dalam kelas semalam Dr Stevens memuji esei yang kau tulis. Jika
orang tidak tahu, mungkin mereka sangka engkau ialah seorang rakyat Amerika.
Mungkin kau patut mempertimbangkan kerjaya dalam bidang penulisan selepas
menerima ijazah nanti,” kata David.
Dr Stevens memberikan Salehuddin gred
A bagi esei yang bertajuk Jewish Occupation in Palestine. Sebelum kuliah
dimulakan, Dr Stevens mengagih- agihkan salinan esei itu kepada setiap pelajar
di dalam kelas. Tentu David telah membaca esei itu.
“Terima kasih, pujian kau terlalu
melambung tinggi. Aku perlu berfikir banyak kali jika ingin bergiat dalam
bidang penulisan. Itupun kalau aku sanggup hidup dalam kebuluran,” kata
Salehuddin.
Sambungnya lagi, “Namun, aku percaya
Dr Stevens lebih mementingkan isi kandungan berbanding dengan gaya penulisan.”
“Aku kurang bersetuju. Padaku, kau
tidak menjalankan kajian yang terperinci semasa menulis esei itu.
Hujah-hujahmu
berat sebelah. Tajuk eseimu jelas membayangkan bangsa Yahudi yang sepatutnya
dipersalahkan kerana menduduki bumi Palestin.” Salehuddin terkejut dengan
kata-kata David.
“Aku menulis tentang perkara yang
sebenarnya berlaku di Palestin. Aku menulis esei itu setelah menjalankan kajian
yang terperinci. Apa yang aku tulis adalah fakta, bukannya khayalan. Memang
benar bangsa Yahudi yang menceroboh Palestin dan mendudukinya secara haram.
Memang benar Israel yang menjadi punca kepada segala konflik dan ketegangan di
Timur Tengah. Tidak keterlaluan jika aku katakan bangsa Yahudi juga
bertanggungjawab di atas suasana kacau-bilau dan huru-hara yang melanda dunia
dari dulu sampai sekarang.”
David kelihatan seperti tidak senang
duduk. Dia membalas hujah Salehuddin, “Bangsa Yahudi memang berhak untuk
menubuhkan negara Israel. Setelah sekian lama kami hidup berkelana di
negara-negara lain, kami ingin kembali ke tanah asal kami. Tanah yang telah
dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi. Kami bukan penceroboh.
“Kami? Salehuddin berasa pelik bila mendengar David menyebut
perkataan kami. Yahudikah dia?
Jika benar dia Yahudi, mengapa pula nama
keluarganya lebih mirip kepada nama keturunan Anglo?
“Maafkan aku, David. Tadi aku
terdengar kau menyebut perkataan kami. Apakah engkau seorang Yahudi?”
Salehuddin bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Benar, aku memang seorang Yahudi. Apa
engkau ada masalah dengan hakikat itu?”
Bersambung........
Karya Husaini Amran
Dipetik dari Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment