Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Tuesday, 5 April 2011

Cerpen : Bayu Dingin Mediterranean (Bahagian 2/2)


“Tengok tu. Sidang damai tak pernah putus. Tapi, semuanya membuang masa. Membuang duit.” Ada nada kesal dalam suara Ziyad. “Begitulah pemimpin kita … kalau sudah dicucuk hidung.”

Pakcik Ma'mun mengangguk. Segalanya sudah termaklum. Pemimpin Arab tidak pernah mahu bersatu. Saling bertelagah. Terlalu mengikut telunjuk Barat. Sedangkan kezaliman Yahudi kian  bermaharajalela. Rakyat jugalah yang  menjadi mangsa. Seinci demi seinci bumi mereka dirampas.

“Pakcik dah tak mampu nak aktif macam dulu. Selalu sangat uzur. Tak daya lagi nak berintifadhah. 

Cuma tinggal Munzir saja harapan kami.” 

“Emm … hampir terlupa saya. Ke mana dia?” Ingatannya cuba membayangkan sepupunya itu. Sudah empat tahun tidak bertemu. Kali terakhir ketika kematian bapanya. Mereka hampir sebaya. Pelajar Universiti Hebron itu barangkali sudah bekerja.

        “Dia keluar sejak pagi.” Pandangan Pakcik Ma'mun tertancap pada jam di dinding.

    “Selalunya dia dah pulang waktu begini.”

        Ziyad menjamah kinafah buatan Nablus yang terbiar sejak tadi. Cukup manis. Sekali-sekala matanya terpandang kelibat Sandora sepupunya yang berulang-alik ke dapur. Gadis itu cukup menjaga aurat dan pergaulannya.  Gadis-gadis arab memang terpelihara. Tidak sewenang-wenang bercampur dengan lelaki ajnabi.
    
    Seketika, loceng berbunyi. Seorang lelaki muncul di pintu. Munzir yang baru pulang masuk ke ruang tamu. Terkejut campur gembira melihat kehadiran sepupunya. Ziyad bingkas. Mereka segera bersalaman, berpelukan. Dan akhirnya sama-sama duduk di kusyen lusuh.

“Ke mana kau tadi?” tanya bapanya.

“Bayt Lehem. Ada pertemuan dengan pelajar. Dengar cerita, lusa ada rapat umum di Hebron. 

Netanyahu dan pimpinan tertinggi Likud akan melawat penempatan Yahudi di sana.”

        Ziyad sekadar mendengar. Di hatinya terbetik rasa tidak sabar. Dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin dari keluarga ini. Malah, dia mahu merasai sendiri derita Palestin  yang  sekadar didengar sekian lama.

        “Kau terlibat?” Dia memandang Munzir. Lelaki yang melilit serban merah di leher itu memang bercirikan seorang mujahid. Dengan tarbus merah di kepala; mirip Hassan al-Banna. Tampak berani dan cekal.

Angguk. “20 ribu penduduk asal Muslim diusir. 400 pendatang haram Yahudi dari Amerika akan membuka penempatan baru di sana. Kami akan berdemonstrasi.” 

*                  *                      * 

Selesai solat zuhur di Masjidil Aqsa, mereka meneruskan perjalanan ke Hebron kira-kira 60 kilometer ke selatan Quds. Munzir di sebelahnya sentiasa berzikir. Dua lagi rakan Munzir yang berada di depan hanya menyepi. Ziyad banyak membuang pandangannya ke luar. Tembok Baitul Maqdis semakin ditinggalkan di belakang.  Di kiri kanan jalan, poster Netanyahu begitu banyak tertampal di sana sini. Beberapa slogan Yahudi juga turut terpampang sekali.

       ‘Tidak bermakna Israel tanpa Quds, tidak bermakna Quds tanpa Haikal'. 

Propaganda Yahudi itu menjengah ruang mata. Sempat dia membaca tulisan besar di tepi jalan yang ditulis dalam bahasa Arab.  Tadi, semasa tiba di Masjidil Aqsa, dia ingin melihat sendiri pembinaan terowong Haikal Sulaiman yang digembar-gemburkan. Tetapi, Munzir melarang. Telah ramai yang tidak pulang katanya bila mendekati kawasan itu. Hati Ziyad berasa amat benci dengan Yahudi. Perangai mereka pun tidak pernah berubah sejak dahulu. Tamak. Suka menindas. Memang wajarlah mereka dilaknat di dalam al-Quran.

Mereka melewati Bayt Lehem sebelum terus ke selatan. Ziyad teringat cerita bapanya. Saudara-maranya begitu ramai tinggal di bandar tempat kelahiran Nabi Isa AS ini. Itu dulu. Tetapi sejurus terjadinya Perang Arab-Israel pada 1967, ramai yang maut. Ada juga yang menjadi pelarian ke Lebanon.

        “Sebelum sampai di sana, perbetulkanlah niat kita. Sekiranya kita ditakdirkan mati, biarlah sebagai syahid.” Munzir yang tadinya ralit berzikir menuturkannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Di wajahnya tiada sebarang kegentaran. Tenang. Ziyad mulai menghitung-hitung dirinya. Mentajdid niatnya kembali. Tidak pernah dia bermimpi akan berada di sini. Merasai detik-detik perjuangan. Alangkah baiknya, jika Thariq turut ada bersama. Kendatipun dia bersyukur, adiknya sanggup menjaga ibu dan keluarga sepemergiannya.

Perjalanan tidak terasa terlalu lama. Masing-masing asyik dalam zikir. Sepuluh minit, dua puluh minit. Sebentar kemudian mereka tiba di sebuah bandar. Di sebuah papan tanda tertera perkataan ‘Al-Khalil', atau Hebron dalam bahasa Ibrani. Ziyad memandang sepupunya.

        “Rapat umum itu bermula pukul berapa?”

        “Dua.” Munzir menjawab sepatah. Bibirnya sentiasa basah. Zikirnya semakin deras. 

Ziyad mengelih jam. 1:45 petang. Kereta terus bergerak. Satu kilometer kemudian kereta berhenti. Di luar, ratusan anak muda sudah menanti. Lengkap bersepanduk. Rata-ratanya  menutup muka dengan kain serban; mengelak dicam pihak berkuasa. Laungan takbir berbaur suara manusia menjadikan suasana agak bingit.

Ziyad sekadar melihat. Suasana begini terlalu asing baginya. Dia menuruti sahaja langkah Munzir. Lelaki bertarbus itu begitu sibuk. Bergegas ke sana ke mari. Bagai seorang ketua, setiap katanya akan dipatuhi. Dia begitu dihormati. Munzir mencapai pembesar suara. Kemudiannya, berucap seketika. Sejurus itu, mereka mula berarak perlahan-lahan menuju ke pusat bandar. Gema takbir terus kedengaran. Mereka mahu berdemonstrasi secara aman. Tatkala itu, matahari bersinar terik. 

Langit bersih membiru. Tiada sedikit pun awan yang berarak. Angin gurun yang bertiup dari tenggara sesekali mencium pipi. Panas.

Ziyad terkejut apabila bahunya dicuit orang. Munzir yang tadi berada di barisan paling depan sudah berada di sebelahnya. Mereka kini berada di tengah-tengah perarakan. Beberapa orang kanak-kanak masih lagi sempat berkejaran di celah-celah ratusan manusia.

“Aku harap kau mendapat pengalaman yang paling berguna. Inilah perjuangan kami,” tutur Munzir. 

Suaranya masih dapat didengar sekalipun takbir kian kuat. Dia menyarung topeng kain ke muka. 

Tidak lagi bertarbus. Yang nampak, hanya dua biji matanya.

“Aku tak pernah bermimpi bersama-sama kalian.” Ziyad melilit serbannya ke paras hidung.

“Munzir, kau yang merancang semua ini?”

Lelaki itu mengangguk. Ziyad tidak terkejut. Dari tadi dia sudah menjangka, lelaki inilah yang memimpin golongan pelajar dan belia. Pengatur setiap ucapan, rusuhan, dan tunjuk perasaan selama ini. Dia berasa dirinya terlalu kecil. Mereka berdua hampir sebaya. Tetapi sepupunya nyata jauh lebih matang. Malah, sudah bergelar seorang pejuang!

“Jihad tidak semestinya dengan senjata. Yang penting, kerana Allah,” bisik Munzir di telinganya sambil menguntum senyum.

Mereka semakin hampir dengan pusat bandar. Ziyad cuba-cuba menyusup ke barisan hadapan. Tiba-tiba, terdengar bunyi tembakan. Perarakan terbantut. Orang ramai mulai kelam-kabut. Masing-masing cuba menyelamatkan diri. Ledakan rifel bersimpang siur. Beberapa kedai di sekitar itu dihujani peluru sesat. Nun di depan, berderet-deret trak askar sedang menuju ke arah mereka.

Munzir segera menarik tangannya. Mereka berundur ke belakang. Berlindung di balik tembok sebuah kedai. Bom gas pemedih mata yang ditembak dari jauh bersepah di jalan. Askar-askar rejim Zionis semakin dekat. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat melarikan diri ada yang rebah. Masing-masing panik. Tidak menyangka perarakan akan disekat sebegini cepat. Biasanya askar-askar Israel akan bertindak bila rakyat memberontak.

Namun para pelajar yang tadinya bertempiaran cuba bertindak balas. Mereka melastik dan membaling batu. Beberapa pelajar yang rebah mula menjadi mangsa. Dipukul tanpa belas kasihan. 

Beberapa orang lagi yang gagal melarikan diri diheret masuk ke trak. Munzir sempat mengarahkan beberapa orang melempar bom asap. Setidak-tidaknya akan mengabui lawan; membolehkan mereka melepaskan diri. Tanpa dijangka, beberapa jip muncul dari arah belakang. Masing-masing sudah kehilangan arah. Suasana menjadi semakin kalut. Mereka terkepung!

Munzir menjerit mengarahkan mereka supaya menyelamatkan diri. Dia gusar semakin ramai yang akan ditahan pihak berkuasa. Buruk padahnya. Mereka terus bertempiaran. Menerobos lorong-lorong di sekitar itu. Letusan senjata api di mana-mana. Jeritan dan tempikan mula kedengaran. Ada pelajar yang telah kena tembak. Ramai juga yang cedera.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Ziyad mengikuti derap sepupunya. Mereka berlari sekuat hati. Nahas jika tertangkap. Ada jip askar yang mengikuti di belakang.

“Kita kena khianat. Celaka. Ada orang bocorkan rahsia!” Munzir menyumpah-nyumpah. Langsung tidak menyangka rancangannya memprotes pengusiran penduduk asal Arab dikesan lebih awal. 

Tentu ada yang jadi tali barut. Wajahnya membersut geram.

Mereka terus berlari. Ziyad mulai termengah-mengah. Lariannya tidak sederas tadi. Masing-masing kehilangan nafas. Tidak semena-mena, Munzir rebah. Mata Ziyad terbelalak melihat bahu sepupunya ditembusi peluru. Darah panas memancut-mancut keluar. Dia memangku Munzir.

“Lari!” Suruh Munzir, lirih. Tubuhnya semakin lemah.

Ziyad menggeleng. Tidak tergamak meninggalkan Munzir keseorangan nazak di situ. Dia cuba memapah sepupunya. Namun apabila dia bangkit, beberapa orang lelaki bersenjata api sudah berada di sekelilingnya.
*                              *                              *
Irbid macam biasa. Malam kelam. Bulan agak terlindung. Namun tiada tanda-tanda hujan akan turun. Musim panas baru hendak bermula. Thariq berdiri di jendela kamarnya. Pandangannya dibuang  ke luar. Telinganya menangkap suara pembaca berita stesen radio di Amman. Setiausaha Negara Amerika Syarikat dilaporkan akan menemui Benjamin Netanyahu di Tel Aviv untuk membincangkan proses damai di Timur Tengah. Thariq tidak berminat untuk terus mendengar. Semua itu pembohongan semata. Sidang damai tidak pernah menguntungkan Islam. Israel dan Amerika Syarikat sama sahaja. Cuma mereka yang masih tidak sedar.

Thariq mematikan radio. Nafasnya ditarik panjang-panjang.  Sejak tadi, dia tidak keruan. Surat yang baru diterima dari Sandora hampir renyuk di tangan. Berita yang cukup menyedihkan. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberitahu ibunya. Atmanya sendiri hampir tidak terkawal. Sukar untuk menerima kenyataan.

Bayu dingin dari Mediterranean terus berpuput. Sejuk. Thariq merapatkan jendela. Detik itu, sebak mula menggempur di dada. Hatinya bagaikan merusuh dan meronta-ronta. Turut sama terasa derita Palestin yang kehilangan tanah airnya. Sedang dia pula baru kehilangan saudaranya. Nasib mereka barangkali memang telah ditakdirkan; serupa. 

TAMAT

Penulis : Zaid Akhtar 
Sumber : Mohd Eimanuddin

No comments:

Post a Comment