Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Monday, 4 April 2011

Cerpen : Bayu Dingin Mediterranean (Bahagian 1/2)

Berita jam lapan sedang ke udara. Pandangannya ditumpukan ke skrin kaca. Perhatian diberikan segenapnya. Menyorot inti utama berita. Berita yang berlegar-legar dalam skop yang itu juga. Topik yang sentiasa menjadi pertikaian. Tidak pernah berkesudahan.
        
Dia mengerutkan dahinya. Sesekali mendengus. Muak dengan perkembangan yang disampaikan. Liputan sidang damai yang sedang berlangsung di Tel Aviv di antara Yasser Arafat dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pertemuan diplomasi yang sudah termakruf akan natijahnya. Ucapan kedua-duanya juga diselang-selikan dengan sedutan beberapa siri sidang damai yang telah lalu, yang tidak pernah mendatangkan manfaat bagi Islam.

Melambat-lambatkan kebangkitan!
       
Remote-control ditekan. Televisyen padam serta merta. Tubuh yang letih disandarkan ke sofa lembut. Matanya melilau mengitari ruang tamu. Di depan ada almari. Di atasnya ada televisyen, piala, medal, bunga, dan susunan buku. Sebuah radio tua mengisi di sudut kanan. Di dinding, ada foto berbingkai. Gambar Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Ziyad merenung kubah kuning keemasan yang seakan-akan maya. Lama. Tidak semena-mena rindunya terhadap Quds tanah airnya semacam melimpah.

        “Jangan engkau kuatkan azam untuk mendatangi melainkan yang tiga ini: Masjidil Haram, Masjidil Aqsa, dan Masjidku ini.”

        Suara uzur bapanya menuturkan hadis itu memancing tumpuannya. Buku yang sedang dibaca segera dikatup. Ziyad menghadapi bapanya. Memandang wajah tua yang putih bersih.

        “Bapa teringatkan Quds?” sapanya. Dia melihat mata lelaki itu berkaca.Syeikh Mahfodz tersenyum.

        “Aku sedih. Umat Islam sekarang tak dapat melakukan apa yang disabda oleh Rasulullah SAW,” luahnya, bernada kesal.


Matanya yang agak terperosok ke dalam meneliti mashaf al-Quran yang lusuh. Menghayati maknanya barangkali. Bapanya seorang ulama. Seorang tokoh mujahid yang kehilangan tanah air dan telah dilupakan.

        Ziyad terus memandang bapanya yang lumpuh. Menanti-nanti kalimat yang bakal terluah. Dia tahu; bila bapanya berkeadaan begitu, ada sesuatu yang ingin diberitahu. Mungkin tentang mimpinya yang semakin gharib kebelakangan ini. Bapanya pernah bermimipi Perang Teluk akan terjadi. Dan mimpi bapanya terbukti benar.

        Syeikh Mahfodz mulai membaca ayat-ayat suci al-Quran. Matanya
terpejam. Dia hafiz. Ziyad hanya mendengar. Surah al-Isra', ayat satu hingga lapan. Dibaca secara tartil. Sayu.

        “Quds adalah kiblat asal kita sebelum diubah ke Kaabah.” Dia menutup mashaf. “Masjidil Aqsa sudah sebati dengan jiwa aku. Aku membesar di situ. Belajar di situ. Madrasah tarbiah yang telah membentuk sakhsiahku.”

        Ziyad mengangguk. Dia tahu asal-usul meraka. Sejarah bapanya menentang penjajahan Yahudi. Bapanya berasal dari Rafat di Tebing Barat. Tetapi dibesarkan di pinggir Masjidil Aqsa. Sejak berhijrah ke Jordan, bapanya tidak pulang-pulang ke Palestin. Kesemua ahli keluarganya terbunuh dalam perang, kecuali dia dan adik lelakinya yang masih menetap di sana.

        “Mengapa bapa? Ada yang tak kena?” Ziyad terus menyoal. Dia sedar bapanya mahu mengungkapkan sesuatu.

        Syeikh Mahfodz menatap wajah anaknya dalam-dalam. Kemudian mengangkat tangannya. Ziyad merapati bapanya. Lantas memeluk lelaki itu.

        “Aku mahu kau juga jadi seorang pejuang.”

        Air mata bapanya membasahi bahu. Air mata seorang bekas pejuang yang tua dan lumpuh. Dia mengerti bapanya amat kesal kerana menjadi pelarian ke Jordan, sementara adiknya masih lagi berjihad. Keadaan waktu itu yang mendesak, yang memaksanya lari ke Jordan. Mereka tiada senjata untuk melawan. Sekadar membiarkan leher disembelih Yahudi tanpa sebarang ikhtiar, bukan caranya.Sebab itulah yang membawa bapanya ke sini. Biarpun telah beberapa dekad ia berlalu, namun semangat jihad itu masih seperti dulu.

        Bayu padang pasir yang berhembus menggoyangkan langsir. Ziyad kembali dari imbauan lampau. Dia mengesat birai matanya yang sedikit basah. Terngiang-ngiang pesan bapanya di gegendang. Hajat bapanya yang mahu dia menjadi pejuang; menyambung sisa-sisa perjuangannya sewaktu muda dulu.

Dua minggu selepas peristiwa itu, bapanya meninggal setelah angin ahmarnya menyerang lagi. Itu empat tahun yang lalu. Sekarang dia mahasiswa tahun akhir Kuliyyah Siasah Universiti Yarmouk, Irbid. Pengajian politiknya akan berakhir musim panas ini. Tetapi, akhir-akhir ini dia sering terpanggil.Bayangan Masjidil Aqsa acapkali mengganggu tidurnya. Kerinduannya terhadap bumi berkat itu semakin membara. Mungkin perlu dia menziarahi Palestin buat kali pertama.

        Thariq yang muncul dari dapur menghidupkan radio. Di tangan kanannya sepinggan humus dan 
falafil. Tangan kirinya menatang teko dan roti. Habibi Ya Nural Ain dendangan Amru Dhiyab sedang berkumandang. Keheningan segera terisi. Ziyad menceber. Irama arab cukup dibenci. Faudho.

        “Sudah berapa kali aku kata, usah ingat dia lagi. Nawwal tak sesuai dengan kau. Dia Masihi.Pegangan kita jauh berbeza.” Thariq mengomel.

        Ziyad menggeleng-geleng. Kesal dengan anggapan itu. Adiknya yang satu ini memang sering menuduhnya menggilai Nawwal – gadis Kristian yang menjadi rakan sekuliah.

        “Apa kena kau ni? Aku dah lupakan dia,” tegasnya. Dia mencubit roti, lalu dicecah dengan humus sebelum disuap ke mulut. Thariq mencapai majalah Al-Mujtama'.  Menatap sekali imbas ilustrasi muka depan. Kemudian menyelak helaian demi helaian.

        “Aku nak ke Quds cuti musim bunga ini.”

        Thariq masih leka membaca. Telinganya gagal menangkap jelas apa yang dituturkan. Ditambah suara Amru Dhiyab yang lantang.

        “Aku akan ke Quds sebelum semester musim panas ini,” luah Ziyad sekali lagi.

        “Kau gila?” Mata Thariq terbeliak. “Engkau tu tinggal satu semester lagi. Ingat sikit, sejak Netanyahu berkuasa, semangat anti-Arab semakin berleluasa. Semua pelawat dari Jordan disyaki pengintip.” Al-Mujtama' dicampak ke tepi. Dia tidak setuju dengan keinginan abangnya. Niat itu suci, tetapi agak gila.

        Ziyad tersenyum polos.

        “Adik, barangkali  kau dah lupa pesan bapa. Lagipun, Pakcik Ma'mun ada di sana. Mereka juga keluarga kita kan.” 

        “Aku tau. Tapi kenapa kau terburu-buru? Kau ada satu semester saja  lagi. Ibu tentu tak setuju. Nahas kalau terjadi apa-apa.” Thariq memandang tepat wajah abangnya. Meminta penjelasan.

        Ziyad geleng. Hatinya sudah bulat untuk ke Baitul Maqdis awal  Jun nanti. Sudah lama dia memikirkan keinginannya yang satu ini. Semangatnya untuk menyaksikan sendiri intifadhah muslimin Palestin meluap-luap. Kalau ibunya tidak setuju, tahulah dia bagaimana mahu memujuk. Jus limau yang masih berbaki diteguknya sekali. 

        “Untuk apa takut? Ajal maut di tangan Tuhan,” selanya seraya bingkas dan melangkah ke kamar.

        Thariq terkasima. Memandang roti, humus,dan falafil yang terbiar. Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengar.
*            *               *
Makcik Sarah  menghidangkan sepiring kinafah yang telah dipotong. Bibirnya dari tadi sentiasa mengukir senyum. Gembira dengan kedatangan anak saudaranya. Pakcik Ma'mun menghirup teh yang masih berasap. Aroma herbanya menusuk hidung. Sementara Ziyad mengeluarkan buah tangan yang dibawanya dari Jordan. Kiriman ibu.

        “Jordan masih macam dulu, pakcik,” selanya. Hadiah bertukar tangan.
Makcik Sarah yang peramah tidak putus-putus mengucapkan terima kasih. Ziyad senyum. Hatinya terharu, selebihnya bersyukur. Dia sendiri tidak menyangka akan berada di rumah bapa saudaranya. Setelah berjam-jam bersoal jawab di kedutaan, bahkan disoal siasat hampir sehari suntuk di sempadan, dia akhirnya beroleh visa. Bebas untuk menginjaki tanah airnya. Tidak ramai rakyat Jordan yang beruntung dapat masuk ke Palestin.

        “Lama betul pakcik tak ke sana, sejak kematian arwah bapa kau. Cuma, selalu juga ikut perkembangan di televisyen.”

        “Sama saja, pakcik. Baik di Jordan, Lebanon, mahupun Palestin. Nasib kita orang Islam tak pernah berubah. Ditindas, ditekan di mana-mana.”

        Siaran televisyen Israel 2 ketika itu sedang menyiarkan pertemuan Raja Hussein Jordan dengan Bill Clinton di Rumah Putih. Ziyad mencemik. Meluat dengan lakonan Barat. Sandiwara mereka  tidak pernah tamat. Macam-macam muslihat yang dibuat.


Bersambung....

Penulis : Zaid Akhtar 
Sumber : Mohd Eimanuddin

No comments:

Post a Comment