Al Aqsa dihati :

Adalah suatu kewajipan jihad untuk membebaskan tanah air umat Islam daripada sesiapa yang menyerang atau menakluknya kerana mereka adalah musuh umat Islam- Syeikh Yusof Al Qardhawi

Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang2 yang beriman, kamu adalah penolong kepada sesama kamu. Jika kamu tidak melakukan ini, akan timbul pecahbelah dan penyelewengan yang besar.”

Wednesday, 22 June 2011

Protes Di Hari Jumaat






10/06/2011- Polis Israel menggunakan gas pemedih mata dan ‘flash bang’ di perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas umat Islam selesai menunaikan solat jumaat. Menurut pihak Polis Israel, tidakan itu diambil apabila ada beberapa orang dari Jemaah yang selesai menunaikan solat, membaling batu kepada arah Polis Israel yang sedang berjaga


13/06/2011- Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan notis 45 hari kepada pihak berwajid untuk merobohkan 3 penempatan haram Palestin yang dibina di atas tanah milik persendirian berhampiran tebing barat. Ini dikatakan termaktub dalam Perjanjian Migron.


15/06/2011- Para doktor dan jururawat di Palestin membuat mogok di hadapan pejawab Palang Merah di Gaza. Tujuan protes ini diadakan kerana kekurangan bekalan perubatan di hospital-hospital awam sekitar Palestin. Ashraf Al-Qidra, Pengarah di Jabatan Perhubungan Awam, Kementerian Kesihatan, mengesahkan bahawa 180 jenis ubat dan 200 jenis alat perubatan mengalami kekurangan yang sangat kritikal dan jika berlanjutan boleh menyebabkan pesakit mati kerana tiada peralatan yang secukupnya.


17/06/2011- Israel menutup pintu Kerem Shalom buat sementara waktu. Pintu tersebut merupakan satu-satunya pintu masuk untuk bantuan kemanusiaan dan barangan komersial ke Gaza. Walaupun pintu masuk Rafah dibuka oleh Mesir untuk ke Semenanjung Gaza, pintu masuk tersebut hanya untuk kemasukan penduduk Palestin ke Mesir, tidak dibenarkan sama sekali membawa masuk apa-apa bantuan dari luar ke Palestin.


17/06/2011- Satu protes dilakukan di kampung-kampung sekitar tebing barat. Polis Israel terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan rusuhan di Ni'lin, Bil'in, Nabi Saleh dan Al-Mas'ara, serta kampung-kampung berhampiran Ramallah dan Bethlehem. Di Al-Mas'ara, rusuhan bertujuan membantah tindakan Israel yang cuba merobohkan masjid di kampung mereka.



19/06/2011- Satu delegasi Fatah tiba di Armenia pada hari Ahad untuk mengukuhkan sokongan bagi pengiktirafan sebuah negara Palestin.Nabil Shaath, penyelaras hubungan antarabangsa, yang dipimpin anggota Jawatankuasa Pusat Fatah dalam pertemuan dengan beberapa pegawai Armenia dan pemimpin parti-parti politik.Lawatan itu adalah sebahagian daripada persediaan untuk mendapatkan sokongan antarabangsa bagi pengiktirafan PBB sebuah negara Palestin pada bulan September. Isu-isu dua hala juga dibincangkan.


Jika dilihat banyak protes dilakukan umat Islam di Palestin pada hari jumaat. Di Mesir sendiri, gelombang perhimpunan semasa pembebasan negara mereka dari pemerintahan Husni Mubarak  turut mencapai klimaks setiap hari Jumaat selepas selesai menunaikan solat Jumaat. Umat Islam percaya yang hari Jumaat adalah penghulu segala hari, adakah hari jumaat merupakan kunci kemenangan umat Islam di dunia?


Disediakan oleh : The Cerebro


Friday, 17 June 2011

Dr. Abd Aziz Ar-Rantisi dalam Kenangan




Pada hari Sabtu, 17 April 2004 kerajaan haram Israel sekali lagi mengejutkan dunia dengan pembunuhan pemimpin HAMAS, Dr Abd Aziz Ar-Rantisi selepas sebelum itu mereka juga telah membunuh As-Syahid Ahmad Yasin hanya beberapa bulan sebelumnya. Jika As-Syahid Ahmad Yasin dibunuh setelah keluar dari masjid selepas menunaikan solat Subuh, Dr Abd Aziz ar-Rantisi dibunuh setelah menunaikan solat Maghrib di al-Ghafri, utara Ghaza.
 
Selepas hanya tiga tahun, suasana politik di dalam bumi Palestin berubah sama sekali; HAMAS berubah daripada gerakan pembangkang kepada penguasa yang memaksa dunia untuk berinteraksi dengan mereka dengan cara yang lain dari sebelum ini. Sebahagian dari penduduk Palestin menyandarkan kejayaan ini (selepas menyandarkannya kepada Allah) kepada kedua-dua syahid.
Berikut adalah terjemahan petikan temubual Ikhwan Online dengan isteri as-Syahid Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, Rasya al-Adluni yang dilakukan sempena mengingati tiga tahun pemergian as-Syahid.

Rasya:

Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran:
 
“Di antara orang-orang yang beriman itu terdapat pemuda-pemuda yang membenarkan janji mereka kepada Allah. Di antara mereka ada yang telah menyempurnakannya dan ada yang masih menunggu. Mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka.” (Al-Ahzab: 23)

Di sana terdapat ramai syuhada’ yang telah pun pergi menemui Allah lalu mendapat ganjaran yang lebih baik dan lebih kekal bagi mereka. Yang lain, saudara-saudara mereka masih lagi setia terhadap janji mereka dan tidak sekali-kali mengubahnya. Allah mentakdirkan mereka menang di dalam pilihanraya di peringkat parlimen. Allah mentakdirkan mereka berjaya membentuk kerajaan dan berada di kedudukan yang mulia ini. Walau pun menghadapi pelbagai konspirasi, kerajaan HAMAS tetap berdiri teguh dan akan terus berdiri teguh. Di masa yang sama mereka masih lagi kekal berpegang kepada manhaj yang telah mereka pilih bersama-sama saudara-saudara mereka dan mereka berjanji akan terus berpegang dengannya hingga mereka bertemu Allah.

Inilah pandangan saya terhadap suasana sekarang. Saya berdoa kepada Allah agar Dia membantu semua saudara kita di dalam gerakan HAMAS yang masih tidak merubah janji mereka. Agar Allah membantu mereka di dalam perjalanan mereka di atas jalan ini sehinggalah Palestin keseluruhannya dibebaskan dan risalah saudara-saudara mereka yang telah pergi dapat disempurnakan.

Ikhwan Online:
 
Bagaimanakah Puan melihat HAMAS sekarang dan sebelum mereka menjadi kerajaan?

Rasya:

Semua orang perlu mengetahui bahawa HAMAS adalah pertubuhan yang berdiri di atas prinsip syura di antara ahli-ahlinya. Apa yang dilakukan oleh saudara-saudara kita sekarang hanyalah kesinambungan apa yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan kita yang telah pergi. Manhaj mereka sama dan jalan mereka juga sama. Oleh kerana itu, ketika saudara-saudara kita memasuki medan politik pada hari ini, itu bukanlah satu pengalaman baru buat mereka. Syeikh kita yang mulia, Ahmad Yasin pernah melakukan perjanjian genjatan senjata yang panjang dengan pihak Zionis. Beliau telah merangka plan untuk melakukan islah dan perubahan sebelum beliau dan Dr Abd Aziz menemui syahid. Dengan itu saudara-saudara kita tidak lain hanyalah meneruskan jalan saudara-saudara mereka yang telah pergi. Saudara-saudara kita di dalam HAMAS berjuang berdasarkan maslahat rakyat Palestin. Mereka berlegar di mana maslahat tersebut berada. Permulaannya adalah pada jihad. Ketika mereka berlegar di sekitar operasi jihad, mereka tidak menjauhkan diri mereka dari aktiviti politik. Sebaliknya kita mempunyai pimpinan politik sejak bertahun sebelum ini di dalam dan di luar Palestin.

Untuk menyempurnakan peranan amal politik, mereka mencalonkan diri di dalam pilihanraya peringkat parlimen dan berjaya membentuk kerajaan. Tetapi mereka tidak meninggalkan perjuangan asal. Dengan itu saya menegaskan bahawa mereka berada di atas jalan yang sama yang ditinggalkan oleh saudara-saudara mereka yang telah pergi. Mereka tidak mengubahnya dan tidak juga menukarnya. Mereka akan terus begitu sehinggalah mereka bertemu Allah sebagai syuhada’ dengan izin Allah.

Ikhwan Online:
 
Adakah rumah Dr. Ar-Rantisi kehilangan tetamu dan pencintanya sesudah beliau menemui syahid atau adakah rumahnya masih lagi sibuk seperti ketika beliau masih lagi hidup?

Rasya:

Dengan limpah kurnia Allah, saya dan anak-anak berjanji untuk berjalan di atas jalan yang sama. Kami berdoa agar kami menjadi sebaik-baik pengganti kepada sebaik-baik manusia yang telah pergi. Risalah ini menjadi tanggungjawab kami untuk menyempurnakannya. Rumah ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menziarahinya. Dengan limpah kurnia Allah juga kami masih lagi berhubung dengan sesiapa sahaja yang menziarahi dan berhubung dengan Dr Abd Aziz ar-Rantisi. Apa yang kemungkinan kurang adalah wartawan-wartawan yang sebelum ini datang dalam jumlah di luar jangkaan kami. Ini kerana Dr. Abd Aziz mempunyai personaliti yang menarik perhatian media.

Ikhwan Online:
 
Bagaimana layanan anggota HAMAS kepada anak-anak pimpinan besar dan pengasasnya selepas mereka menemui syahid?

Rasya:

HAMAS dengan limpah kurnia Allah adalah pergerakan yang kuat ikatannya. Apa yang wajib ke atas mereka ketika pimpinan mereka masih hidup tidak berubah sesudah pimpinan itu meninggal dunia. Bukan sahaja kepada anak-anak pimpinan tetapi juga kepada semua ana-anak pengikut HAMAS yang telah meninggal dunia. Mereka melayannya dengan cara yang sama. Mereka memelihara anak-anak itu. Bagaimana tidak, sedangkan mereka telah berjanji akan menjadi pengganti pejuang-pejuang itu bagi keluarga mereka. Dengan limpahan Allah, HAMAS yang berjanji untuk melaksanakan Islam secara syumul tidak pernah meninggalkan walau pun satu kewajipan. Di antara kewajipan tersebut adalah memelihara anak-anak syuhada’ samada mereka anak-anak pimpinan atau tidak. Begitu juga dengan anak-anak tahanan.

Ikhwan Online:
 
Siapakah tokoh-tokoh yang masih berhubung dengan keluarga Puan sehingga ke hari ini?

Rasya:

Semua tokoh HAMAS masih berhubung dengan kami tanpa kecuali seorang pun. Di antara tokoh yang paling menonjol yang masih berhubungan dengan kami adalah Ismail Haniyeh, Perdana Menteri, Dr. Ahmad Bahr, Dr. Ismail Ridhwan dan tokoh-tokoh lain; menteri-menteri dan barisan pimpinan yang biasa kita lihat di kaca televisyen. Tidak ada hari keraian yang mereka tidak bersegera menemui kami. Kesibukan mereka tidak menghalang mereka menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak syuhada’ dan tahanan.

Ikhwan Online:

 
As-Syahid adalah seorang peribadi yang menonjol. Adakah Puan atau sesiapa sahaja terfikir untuk menulis tentang riwayat hidupnya? Adakah terdapat mana-mana badan yang berminat untuk menulis? Atau adakah ada mana-mana pelajar yang diketahui ingin menulis tesis di peringkat Sarjana atau PhD berkenaan as-Syahid?

Rasya:

HAMAS sedang mengumpulkan bahan tentang ini. Mungkin saya tidak begitu mengambil peduli hal seperti ini dan menyerahkannya kepada HAMAS. HAMAS lebih layak untuk menjaga anak-anaknya dan HAMAS lebih lama bergaul dengan as-Syahid daripada kami. Dengan itu saya atau anak-anak dan ahli keluarga kami tidak mengambil peduli hal ini. Saya berdoa kepada Allah yang maha berkuasa agar kisah riwayat hidup ini terbit tidak lama lagi.

Ikhwan Online:

 
Walau pun terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan Zionis yang bertanggungjawab membunuh suami Puan,kenapa Puan sehingga hari ini masih tidak mengemukakan dakwaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa agar mereka dihadapkan ke mahkamah sebagai penjenayah perang?

Rasya:

Adakah kamu menjangkakan bahawa kami akan menuntut sedemikian? Sedangkan kita tahu dengan penuh kepastian bahawa yang memberi bantuan dan sokongan kepada penjenayah perang tersebut adalah mereka walau pun mereka berselindung di sebalik Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan slogan hak asasi manusia. Ianya jelas seumpama cahaya matahari dan inilah hakikat sebenar. Adakah kita mahu memperbodohkan diri kita sendiri?

Ikhwan Online:
 
Adakah budaya cintakan mati syahid sebagai mana yang menjadi keistimewaan rakyat Palestin itu yang menghalang Puan melakukan demikian?

Rasya:

Pada kadar yang begitu banyak, semua anak-anak bangsa ini menunaikan fardhu jihad. Kita tahu bahawa harga untuk kebebasan Palestin adalah darah rakyat Palestin. Apabila kita kiaskan itu dan segala perkara yang wujud di atas bumi nyata, kita akan tahu secara pasti bahawa merekalah yang memberikan senjata kepada Zionis untuk membunuh pahlawan-pahlawan itu. Pembunuhan pejuang-pejuang itu dengan menggunakan senjata siapa? Ia adalah senjata Amerika dan Eropah. Dengan itu saya mengulangi kata-kata saya: “Hakikat adalah jelas.” Jika sekiranya mereka benar, kami cuma meminta supaya pertubuhan-pertubuhan itu mengangkat perlindungannya kepada Zionis dan tidak memberikan bantuan kepada mereka.

Ikhwan Online:
 
Pada peringkat individu dan kehidupan dalam masyarakat, apakah Puan rasai kehilangan sesuatu setelah pemergian as-Syahid?

Rasya:

Bercakap tentang kehilangan Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, saya katakan di sini bahawa saya tidak kehilangannya cuma selepas beliau menemui syahid. Kami pernah kehilangannya ketika dia di dalam tahanan. Kami pernah kehilangannya ketika beliau dalam buruan. Kemudian kami kehilangannya selepas beliau menemui syahid. Tetapi, walau pun kami kehilangan jasad Dr. Abd Aziz ar-Rantisi, ruhnya sentiasa berlegar di sekitar rumah kami. Kami tidak merasai bahawa ruhnya meninggalkan kami. Dengan itu kami tidak mencari penggantinya. Bahkan sebagaimana yang saya katakan kepada kamu bahawa ruh as-Syahid sentiasa berlegar di dalam kehidupan kami; di dalam dan di luar rumah.

Ikhwan Online:
 
Lari sedikit dari isu politik, bagaimana kehidupan as-Syahid sebagai suami? Adakah kedudukannya sebagai pimpinan HAMAS memberi kesan kepada peranannya terhadap anak-anak Puan?

Rasya:

Sesungguhnya akhlak beliau menyamai akhlak Rasulullah s.a.w. yang pernah bersabda: “Akulah yang terbaik terhadap keluarganya.” Saya menjadi saksi bahawa Abu Muhammad (ar-Rantisi) adalah sebaik-baik suami, sebaik-baik ayah, sebaik-baik datuk dan sebaik-baik pemimpin. Kerana Allah beliau tidak takut celaan orang-orang yang mencela. Tidak ada tapak yang dipijaknya kecuali akan menyakiti hati musuh. Hasil perkongsian hidup bersama-samanya saya dikurniakan empat orang anak perempuan; Inas, Samar , Aasia dan Asma’. Juga dua orang anak lelaki; Muhammad dan Ahmad. Peranan saya ketika hidupnya adalah peranan seorang wanita muslim yang memahami risalahnya dengan baik; risalah Islam dan risalah dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Risalah inilah yang menjadikan saya berdiri teguh di belakang Dr. Abd Aziz.

Ikhwan Online:
 
Adakah Puan masih ingat bagaimanakah bermulanya perkenalan antara Puan dan Dr. ar-Rantisi? Adakah Dr. Ar-Rantisi aktif di dalam amal politik pada waktu itu?

Rasya:

Hubungan saya dengan Dr. Abd Aziz ar-Rantisi sama seperti mana-mana keluarga Palestin muslim yang lain. Hubungan biasa. Beliau menemui keluarga saya untuk meminang saya dan kami menerima pinangan tersebut. Saya telah dapat merasai wujudnya peranan yang akan dimainkan oleh seorang wanita muslim secara umum dan peranan isteri seorang pegawai perubatan dan ahli politik secara khusus. Tugas saya bukan sekadar untuk berpakaian cantik dan berhias. Tetapi saya telah pun menyediakan diri saya untuk memainkan peranan yang akan dituntut dari saya. Abu Muhammad adalah seorang pegawai perubatan. 

Beliau sibuk berulang alik dari hospital ke klinik dan wad kecemasan. Saya tidak pernah mencemuhnya jika dia tidak berada di rumah sebaliknya saya menganggap itu semua sebagai jihad. Saya mesti bersabar dan menyediakan kerehatan dan kebahagian ketika beliau masuk ke rumah dan bukannya mencemuh atau membebel. Pada waktu itu, Dr. Abd Aziz belum bergiat aktif di dalam amal politik. Beberapa tahun selepas itu beliau bergabung dengan HAMAS dan seluruh waktunya selepas itu adalah untuk amal politik. Saya mengambil tanggungjawab mentarbiah anak-anak. Peranan yang saya mainkan ini banyak meringankan beban Dr. Abd Aziz ketika beliau di dalam tahanan, dibuang daerah, di dalam buruan dan selepas itu menemui syahid.

Ikhwan Online:
 
As-Syahid ar-Rantisi pernah dibuang daerah dan menjadi buruan sebelum menemui syahid. Moga-moga Allah merahmatinya. Itu adalah kehidupan seorang mujahid yang dipenuhi dengan ujian. Bagaimana dengan keadaan ketika beliau di dalam tahanan?

Rasya:

Ketika beliau di dalam tahanan, kami sentiasa berhubung dengan beliau. Samada dengan menziarahinya atau melalui surat-surat yang dikirim melalui persatuan Palang Merah atau melalui pemuda-pemuda yang dibebaskan dari tahanan. Ini sama seperti tahanan-tahanan yang lain. Beliau mengingatkan saya prinsip 

“Berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermenfaat bagi orang-orang beriman.”
(Az-Zariyyat: 55). 

Sesungguhnya itu memainkan peranan yang besar kepada saya untuk terus teguh mendidik anak-anak. Saya tidak pernah selama-lamanya berasa terputus dari dunia Dr. Abd Aziz.

Ikhwan Online:
 
Apa perasaan Puan selepas satu cubaan membunuh ar-Rantisi gagal sebelum ini?

Rasya:

Kamu bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Percayalah, pada waktu itu saya menyiapkan perasaan saya untuk menghadapi apa yang akan berlaku selepas itu. Saya tidak berhenti setakat melihat peristiwa itu sahaja. Berita itu sampai kepada saya di tempat kerja. Pengurus menghubungi saya selepas mengetahui kisah tersebut dan bertanya: “Apa yang Puan mahu kami lakukan untuk Puan?” Saya menjawab: “Saya mahu pulang ke rumah dan menyambut orang ramai yang akan datang mengucapkan selamat.” Dengan keyakinan diri yang tinggi, itulah yang saya lakukan.

Ikhwan Online:
 
Bagaimana dengan detik pertemuan semula dengan Dr. Abd Aziz selepas cubaan membunuh tersebut?
 
Rasya:

Ia adalah pertemuan yang biasa. Ini kerana saya yakin bahawa apa yang akan menimpa saya tidak akan meleset dan apa yang ditakdirkan tidak menimpa saya, ia tidak akan berlaku. Keimanan yang sedemikian menjadikan kita tidak bergembira berlebihan. Kita mengetahui bahawa itu adalah ketentuan Allah dan wajib ke atas kita untuk mensyukuriNya. Saya tahu bahawa ketika Allah menyelamatkan suami saya, itu hanyalah untuk satu tempoh waktu yang terlalu pendek dan untuk menyiapkannya memikul peranan yang akan dipikulnya. Dia mesti menyempurnakan risalah tersebut sebelum ajal menemuinya. Percayalah perasaan ini menjadikan diri saya kuat. Ini tidak bermakna bahawa kewujudan dan kehilangan Dr. Abd Aziz tidak memberi kesan kepada diri saya. Sebaliknya ini adalah keimanan kepada takdir Allah.

Ikhwan Online:
 
Ar-Rantisi menemui syahid selepas cubaan membunuhnya kali ketiga. Bagaimana perasaan Puan ketika hari nahas tersebut?

Rasya:

Berkaitan dengan peristiwa pembunuhan tersebut; Allah memilih Dr. Abd Aziz untuk menjadi syahid. Kamu bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Saya katakan di sini bahawa saya cukup terkesan. Saya tidak mengatakan bahawa jiwa saya keras. Saya cukup terkesan ketika saya mengetahui bahawa suami saya berada di ICU dan ketika saya tahu bahawa peluru itu ditujukan kepada Dr. Abd Aziz. Tetapi saya telah menyiapkan diri selepas saya tahu bahawa beliau adalah sasaran serangan tersebut dan beliau sekarang ini berada di ICU. Selepas itu saya tidak mengambil sikap menunggu sahaja berita kematiannya. Sebaliknya saya mengambil wudhu’ dan memakai pakaian yang sesuai untuk menyambut orang ramai yang akan datang menenangkan saya. Saya menunaikan sembahyang Isyak dan berdoa kepada Allah agar meneguhkan saya dan anak-anak di atas syahidnya Abu Muhammad.

Ikhwan Online:

 
As-Syahid ar-Rantisi tidak pernah hilang dari ingatan. Apakah kenangan bersama as-Syahid yang paling Puan ingati?

Rasya:

Kehidupan Dr. Abd Aziz keseluruhannya adalah kenangan. Apakah ada kesakitan yang akan dirasai lebih dari perasaan kehilangan suami kamu ketika dia di dalam tahanan; samada ketika penjajahan atau di zaman pemerintahan Pihak Berkuasa Palestin? Saya masih ingat di dalam salah satu siri penahanan yang berlaku kepada Dr. Abd Aziz. Ketika itu dia dalam perjalanan balik ke rumah. Kebiasaannya dia akan menalipon saya dalam perjalanan balik ke rumah dan memberitahu bahawa dia sekarang berada di tempat sekian sekian. Ketika dia sampai pintu rumah, saya tidak menyedari bahawa ketika itu pihak berkuasa sedang menunggunya. Waktu ketika itu adalah pukul 11 malam. Mereka menahannya. Mereka tidak memberinya peluang langsung untuk masuk ke dalam rumah untuk memberitahu saya bahawa dia akan dibawa ke tahanan. Ini bukanlah satu pengalaman yang mudah bagi saya.

Ikhwan Online:
 
As-Syahid dikenali sebagai seorang yang sungguh periang. Bagaimana dengan kenangan manis bersama Dr. Abd Aziz?

Rasya:

Dr. Abd Aziz adalah seorang yang periang dan ceria. Nampak keceriaannya kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya. Maka sudah tentulah ia juga dirasai oleh ahli keluarganya. Pada satu hari saya menghukum anak saya perempuan setelah saya bersungguh-sungguh memintanya untuk melakukan sesuatu. Saya memukulnya dengan tepung yang diuli. Pukulan itu tidak kuat tetapi ia meninggalkan kesan psikologi pada anak perempuan saya. Ketika Abu Muhammad pulang, saya menceritakan peristiwa itu. Saya memintanya untuk merawat perasaan anak kami. Kami duduk bersama sekeluarga. Dr. Abd Aziz mula menjernihkan suasana.Beliau mengarang satu syair secara spontan:

Jangan hairan wahai saudaraku
Dengarlah kisahku ini
Akulah akulah
Orang yang kulitnya disaluti tepung



Sumber :
www.dakwah.info




Monday, 13 June 2011

Pengalaman Semasa di Penjara Zionis bersama Syeikh Ahmad Yasin




Ketika pihak rejim Zionis Israel memberikan peluang kepada tahanan HAMAS di penjara pusat Nablus untuk ditukarkan ke Kufr Yuna pada tahun 1994, Farid Ziadah, salah seorang aktivis HAMAS yang dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis tidak melepaskan peluang tersebut. Ini kerana itulah sahaja peluangnya untuk bertemu dengan seorang individu yang hebat yang sentiasa beliau impikan untuk bertemu dengan individu tersebut.
Ketika beliau ditemui untuk di wawancara di rumahnya di sebuah kampung yang bernama Madama di Selatan Nablus, beliau telah mengimbas kembali kenangannya bersama Syeikh Ahmad Yassin di penjara Kufr Yuna yang tidak dapat dilupakannya. Beliau telah menceritakan bagaimana sepanjang tempoh beliau bersama dengan Syeikh Yassin di dalam satu sel untuk berkhidmat kepada pejuang agung tersebut dan amat berbangga dengan tempoh yang beliau habiskan untuk khidmat tersebut.
Ziadah menceritakan: Ianya semua bermula apabila para tahanan HAMAS diberikan peluang untuk berpindah ke penjara Kufr Yuna di mana Syeikh Yassin tinggal. Saya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk bertemu lebih dekat dengan Syeikh Yassin yang merupakan satu gambaran kepada mukjizat keimanan di zaman ini.
Ziadah menambah lagi : Bukan hanya saya seorang sahaja yang berusaha untuk bertemu dengan Syeikh Yassin , malah ramai lagi yang terdiri daripada penyokong-penyokong dan murid- murid Syeikh turut meminta untuk bersama dengannya. Keadaan ini telah memaksa anggota- anggota HAMAS di penjara pusat Nablus untuk melakukan undi bagi memilih siapa yang layak untuk dipindahkan ke Kufr Yuna demi memberikan khidmat kepada Syeikh Yassin yang amat mereka sayangi. Ditakdirkan oleh Allah, Ziadah telah terpilih untuk tugas yang mulia tersebut.
Program seharian Syeikh Ahmad Yassin di penjara Ziadah telah menceritakan hari-hari yang dipenuhi dengan kasih sayang, kerinduan, keimanan yang dilalui olehnya bersama dengan Syeikh Yassin dan juga keperitan yang dialaminya ketika berpisah dengan Syeikh tersebut, walaupun perpisahan tersebut adalah untuk pembebasannya dari penjara. Jika anda ingin memperkatakan tentang Syeikh Yassin, anda akan memperkatakan tentang program -program hidupnya yang padat, dan seolah-olah tubuhnya yang lemah itu bukanlah bekas untuk menampung ruh dan jiwanya yang besar dan aktif tersebut.
Beliau mengatakan : Beliau sentiasa bangun pada pukul 3 pagi untuk bertahajjud, membaca al-Quran sementara menantikan solat Subuh Al-Quran sentiasa menjadi teman karib Syeikh Ahmad Yassin
Waktu-waktu selepas solat Subuh beliau habiskan untuk bersama dengan tuhannya dengan membaca al-Quran. Waktu-waktu tersebut seolah- olah melupakan beliau terhadap kesempitan hidup beliau di penjara dan membuka keluasan rahmat Allah di hadapannya. Aktiviti tersebut berterusan sehinggalah pintu sel dibuka untuk para tahanan keluar untuk bertemu di antara satu dengan lain di dalam kawasan penjara.
Waktu tersebut digunakan oleh Syeikh untuk mengambil udara segar dan bertemu dengan para tahanan yang lain. Ziadah dan juga rakan- rakan yang lain memapah Syeikh yang ingin bersama dengan para tahanan lain yang melakukan riadah. Ia menunjukkan seolah-olah Syeikh tidak mahu menyerah dengan lumpuh yang dihadapinya, dan seolah-olah beliau ingin membuktikan kepada pegawai-pegawai penjara bahawa beliau tetap bertenaga dan tidak akan menyerah kalah.
Kami juga akan mengurut dan menggerak- gerakkan sendi-sendi Syeikh sebagai salah satu daripada rawatan terapi untuk tubuhnya yang lumpuh itu, dan kami  bagai dapat merasakan darah yang mengalir itu terkandung di dalamnya semangat perjuangan yang tidak akan terpadam. Selepas itu kami akan masuk semula ke dalam sel, di mana Syeikh akan berwudhu dan bersolat dhuha, sambung beliau.
Perpustakaan yang intensif di dalam sel yang kecil
Selesai sahaja solat, Syeikh akan mengkhususkan waktunya untuk ilmu. Dia akan segera dibawa ke perpustakaan mininya yang intensif dengan pelbagai buku di dalam selnya yang kecil. Beliau tidak jemu menatapi helaian-helaian buku di perpustakaan tersebut demi menajamkan pemikirannya. Menurut Ziadah, beliau bukan hanya membaca, malah daya ingatannya yang kuat telah membolehkannya menghafal maklumat hatta isi kandungan buku-buku yang dibacanya. Beliau amat menggemari buku gal-Bidayah wa al-Nihayah(buku sejarah Islam) karangan Ibnu Kathir yang mengandungi 20 jilid. Beliau juga sering meminta pembantu-pembantunya untuk menguji ingatan dan hafalannya terhadap apa yang beliau dapat dari buku tersebut. Lebih menarik lagi, beliau ingatkan muka surat yang terkandung di dalamnya maklumat yang beliau telah baca.
Selesai aktiviti keilmuan, beliau akan bersolat Zohor bersama dengan pembantu- pembantunya, dan akan tidur selepas itu selama sejam, dan apabila beliau bangkit dari tidurnya beliau akan menghabiskan waktu menonton rancangan berita televisyen, mendengar radio dan juga mendengar nasyid-nasyid Islami. Beliau amat menggemari nasyid-nasyid Islami. Selepas aktiviti tersebut, Syeikh akan segera ke perpustakaannya kembali untuk membaca sehingga tiba waktu Asar. Selepas Asar beliau akan membaca al-Quran yang menjadi wirid hariannya. Selesai sahaja menghabiskan wirid-wirid tersebut, beliau aka n makan bersama pembantu-pembantunya. Mereka hanya makan makanan yang mereka masak sendiri sahaja dan bukan yang disediakan oleh pihak penjara. Selepas itu mereka keluar bersama untuk beriadah. Waktu riadah mereka diasingkan daripada waktu riadah banduan-banduan jenayah, agar mereka tidak bertemu dan tidak diganggu.
Syeikh akan kembali ke selnya untuk berwudhu dan mempersiapkan diri untuk solat Maghrib bersama dengan yang lain. Usai solat Maghrib mereka akan  menunaikan solat sunat sambil menantikan waktu Isyak. Selesai solat Isyak, mereka akan bertadarrus dan menyemak hafalan al-Quran mereka bersama Syeikh.
Tidak untuk bermalas-malasan dan membuang masa
Syeikh tidak sukakan keadaan santai dan bermalas-malasan pada waktu malam. Beliau juga tidak suka berjaga sehingga lewat malam. Beliau juga amat sedikit meminum teh dan tidak langsung meminum kopi. Biasanya mereka akan berehat- rehat sahaja sebelum tidur.
Semangat Syeikh Ahmad Yassin membakar sehingga kini walaupun jasadnya hancur di mamah roket rejim Zionis
Beliau juga seorang yang amat mudah mesra dan suka bergurau, tetapi tidak berlebihan. Walaupun keluarganya tidak dapat menziarahinya selalu, namun beliau tidak pula merasakan kesedihan seperti kebanyakan banduan yang sentiasa merindukan ahli keluarga mereka.
Ziadah juga menceritakan bagaimana Syeikh menghidapi sakit perut dan telinganya dan sentiasa sabar menghadapinya. Telinganya juga tidak dapat mendengar dengan normal, malah para pembantunya sering memasangkan ear-phone untuk Syeikh mendengar televisyen.
Rakan penjaraku
Ziadah juga sempat menceritakan ketajaman pemikiran Syeikh Yassin dan juga keperibadiannya yang diwarnai dengan pelbagai warna politik, figur agamawan, figur intelek dan juga universalitinya. Ini semua membuatkan Syeikh mudah didampingi dan didekati oleh sesiapa sahaja.
Beliau sempat menceritakan perihal gelas kecil milik Syeikh Ahmad Yassin yang kelihatan agak lama digunakan olehnya. Bila beliau menawarkan untuk  menggantikannya dengan yang baru, Syeikh segera menolak dan mengatakan gelas itulah temannya di penjara semenjak dahulu lagi. Syeikh juga mengatakan saiz gelas itu sesuai untuknya menyukat bilangan air yang diminumnya seharian.
Apabila dibalas oleh Ziadah bahawa beliau akan menggantikanya dengan gelas yang baru yang sama saiz dengannya Syeikh segera menjawab : Apalah untungnya menggantikan sesuatu yang lama dengan yang baru jika yang lama masih lagi elok
Perpisahan yang memeritkan
Ketika Ziadah menceritakan saat perpisahan beliau dengan Syeikh, beliau tidak dapat mengawal emosinya, dan air matanya bagaikan empangan yang pecah tanpa dapat dihalang alirannya. Kata beliau , Ketika pengurusan penjara memberitahu bahawa saya akan dibebaskan setelah selesai menjalani dua pertiga dari tempoh tahanan saya, saya langsung tidak berminat untuk keluar sepertimana halnya banduan-banduan yang lain. Saya merasakan keberadaan bersama Syeikh Yassin di dalam penjara lebih berharga buat diri saya, namun Syeikh memberikan semangat kepada saya untuk keluar dari penjara. Akhirnya saya akur dan menurut perintah Syeikh lantas keluar meninggalkan penjara tersebut.
Saat pengumuman pembebasannya oleh pihak mahkamah yang sepatutnya diserikan dengan perasaan kegembiraan bertukar kepada tangisan kesedihan kerana tidak sanggup menghadapi saat perpisahan dengan Syeikh Ahmad Yassin.
Seminggu sebelum tarikh pembebasannya dia berazam untuk mengumpul sebanyak mungkin ilmu dari Syeikh, namun semuanya berkecai apabila dia diperintahkan untuk dibebaskan dengan segera. Beliau walaubagaimanapun enggan meninggalkan Syeikh selagi pihak penjara tidak menghantar pembantu baru untuk Syeikh.
Apabila seorang pembantu baru yang didatangkan dari penjara lain dihantar kepada Syeikh Yassin, barulah dia dapat meninggalkan Syeikh tersebut. Saat perpisahan yang dilaluinya amat sedih dan pilu dan tidak mungkin beliau melupakannya. Dia masih terbayangkan bagaimana Syeikh Ahmad Yassin telah  menyuruhnya pergi selepas beliau memeluk Syeikh dan tenggelam di dalam tangisannya. Susuk tubuh Syeikh melambaikan tangannya di lapang riadah masih  terbayang di dalam kotak pemikirannya sehingga kini. Perpisahan kali pertama itu tidak akan dapat dilupakan sepertimana dia tidak melupakan perpisahan kali kedua apabila tubuh Syeikh Ahmad Yassin hancur dimamah roket tentera Israel.
Syeikh yang kuat berpuasa
Bukan hanya Ziadah seorang sahaja yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin. Sameeh Alawi, seorang anggota HAMAS dari Nablus juga pernah berkhidmat untuk Syeikh di dalam penjara selama 100 hari. Hari-hari bersama Syeikh Ahmad Yassin adalah saat-saat yang paling indah dalam hidupnya, walaupun sepanjang 100 hari tersebut mereka ditempatkan di dalam sel yang amat kecil yang tiada cahaya matahari dapat menerobos masuk ke dalamnya.
Sameeh ketika menceritakan perihal Syeikh Ahmad Yassin telah mengatakan : Syeikh akan bangun pagi dua jam sebelum solat Subuh untuk menunaikan Qiyamullail. Di siang harinya pula beliau amat rajin berpuasa. Beliau tidak ketinggalan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Beliau juga banyak menghabiskan waktunya untuk membaca al-Quran, dan mendengarnya bersama dengan para pemuda di penjara. Syeikh membaca 3 juzuk dalam sehari dan mendengar bacaan al-Quran sejuzuk sehari. Syeikh amat gemar membaca buku al-Bidayah wa al-Nihayah, mendengar berita dan juga menonton rancangan-rancangan agama di T.V.
Menurut Alawi lagi : Para pemuda di penjara berlumba-lumba untuk berkhidmat kepada Syeikh. Mereka juga gemar mendengar kata-kata dan juga nasihat-nasihat Syeikh. Walaupun beliau tidak banyak bercakap, namun kata-katanya yang sedikit itu penuh dengan hikmah dan pengajaran.
Antara mereka yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau di dalam penjara ialah Syeikh Diyaf al-Samur dari Ramallah, di mana Syeikh telah menulis surat kepadanya dengan menggunakan tulisan tangannya sendiri dengan penuh kepayahan. Ini kerana Syeikh amat sayangkan beliau. Antara yang lain juga ialah Syeikh Naaji Sinqrit dari Khalil (Hebron), Syeikh Sameeh Zainuddin, seorang akauntan dari Bait Lid berdekatan dengan bandar Netanya, Syeikh Nidhal Abu Saadah dari Bait Dujan, dan juga Ir. Farid Ziadah dari Madama.
Hatta pegawai penjara pun sukakan Syeikh Yassin
Syeikh bukan hanya disukai oleh para pemuda muslim yang bersama dengannya, yang lebih menarik lagi, para pegawai penjara Israel yang berketurunan Yahudi pun ada yang mengkagumi dan menyukai beliau. Antaranya ialah salah seorang pegawai penjara yang merahsiakan namanya telah mengatakan : Saya tidak melihat apa-apa pun pada peribadi Syeikh Yassin yang menunjukkan beliau seorang pengganas.
Saya merasakan ketenangan dan juga berasa senang sekali jika dapat mengawalnya, hatta apabila berdiri berdekatan dengannya pun. Inilah yang mungkin dapat dirasakan oleh para pemuda yang telah berkhidmat kepadanya
Beliau menambah : Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau (Syeikh) di dalam penjara ketika beliau bersama rakan-rakanya. Dan saya dapat merasakan bahawa HAMAS akan mengamuk jika Syeikh ini diapa-apakan oleh sesiapa pun. Beliau adalah bapa spiritual kepada HAMAS!. (Kenyataan ini telah dinyatakan oleh pegawai berkenaan di dalam sebuah rancangan Talk Show di salah sebuah rangkaian Televisyen Israel pada malam Sabtu 3 / 4 / 2003).
Yassin diberkas buat pertama kali pada 1984 atas pemilikan senjata dan bahan letupan secarah haram, tetapi dilepaskan setahun kemudian di mana selaepas itu beliau mula membentuk Hamas, nama yang menjadi akronim bagi “Pergerakan Penentangan Islam.”
Pada 1989, Sheikh Yassin ditangkap oleh Israel dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan mengarahkan pembunuhan orang Palestin yang bekerjasama dengan Israel.
Beliau akhirnya dibebaskan pada 1997sebagai pertukaran dengan 2 agen Israel yang ditangkap di Jordan atas cubaan membunuh seorang pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.
Hamas telah memberikan sumbangan berbentuk material melalui tabung kebajikan untuk sekolah-sekolah, klinik-klinik dan hospital yang menyediakan perkhidmatan per*****a kepada keluarga yang terdesak.
Sejak penubuhannya pada 1987, Hamas telah melaksanakan serangan-serangan.Pemimpin baru Hamas, Khaled Meshaal berjaya mengelakkan cubaan bunuh Israel yang besar terhadap Israel, menjadikan Zionis sebagai musuh paling utama. Hamas tidak mengiktiraf hak kewujudan Israel, sasaran jangka panjang mereka ialah pembentukan sebuah Negara Islam dengan sempadan-1948. Syeikh Yassin merupakan penentang utama terhadap Perjanjian Damai Oslo antara Israel dan Palestin,dimana beliau berkali-kali mengatakan bantahan pergerakannya terhadap sebarang pelan perdamaian Barat yang tidak menyatakan hak-hak penuh rakyat Palestin.
Walaupun beliau cuba untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan pihak berkuasa Palestin (PA), terdapat beberapa cubaan untuk menyekat aktiviti beliau. Pada Dec 2001, seorang lelaki mati dalam Pada September 2003, askar Israel cuba membunuh Syeikh Yassin ketika berada di rumah salah seorang ahli Hamas.
Syahid Yang Hidup – Kesan dan Prospek
Kesan serta-merta selepas pembunuhan Syeikh Yassin adalah luahan kemarahan seluruh dunia Islam serta perarakan tunjuk perasaan besar-besaran di jalanan di Negara Arab dan Islam. Pembunuhan itu berlaku hanya beberapa hari selepas bantahan antarabangsa dibuat sempena mengingati kempen setahun serangan US terhadap Iraq. Kejadian ini menyemarakkan lagi sentiment anti-US dan anti-Israel kerana marah dengan penjajahan US yang berterusan di Iraq. Lebih menarik lagi, US yang bersungguh-sungguh untuk mendirikan kerajaan pro-US di Iraq, dan memenangi hati dan fikiran orang awam di sana, mendapati tujuan mereka lebih sukar ekoran ribuan orang Iraq mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya, mengkritik pembunuhan Yassin oleh Israel.
Kemarahan orang Iraq terhadap pembunuhan Yassin bukan hanya meliputi puak Sunni sahaja. Ayatollah Ali Sistani, ulama besar Shiah dan orang paling berpengaruh di Iraq, menyeru umat Islam untuk bersatu menentang Israel, sementara Moqtada al Sadri, ulama Shiah yang lebih militan menawarkan kepada orang Palestin “sokongan moral dan fizikal. “Dalam suasana yang tegang ini, US yang dianggap sebagai dalang di sebalik tindakan Israel, telah menaikkan kemarahan orang Iraq lalu menyukarkan keadaan askar dan pegawai US di Iraq.
Secara dalaman pula, kesan atas pembunuhan Yassin adalah peningkatan kekuatan dan pengaruh Hamas di jalan raya Palestin, berkurangnya peranan pihak berkuasa Palestin (PA) selepas PA dilihat gagal dan tidak bersungguh-sungguh dalam melindungi pemimpin pergerakan penentangan Palestin walaupun mempunyai banyak hubungan keselamatan dengan pertubuhan keselamatan antarabangsa. Sebagai akibatnya, PA akan sukar untuk menentang Hamas – tindakan mengumpul senjata, menangkap militant atau menghalang pelancaran roket berpandu Qassam akan menjadi tindakan politik yang berbahaya buat PA.
Perkara lain yang mungkin berlaku akibat pembunuhan ini adalah Hamas yang kekurangan pemimpin berwibawa akan berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil secara berperingkat-peringkat, sepertimana yang berlaku pada Ikhwanul Muslimin di Mesir selepas Sayyid Qutb digantung mati oleh Gamel Nasser. Kumpulan kecil itu selalunya akan membentuk ideologi mereka sendiri dan corak operasi mereka selalunya lebih radikal daripada pertubuhan asal mereka. Pergerakan penentangan Palestin selama ini mengelak sebarang jalinan dengan al-Qaeda.
Walaubagaimanapun, Abdel Aziz al- Rantissi mengumumkan yang Hamas telah membuka account khas dengan Israel, mengaitkan pembunuhan Yassin sebagai pengisytiharan perang ke atas Islam. Ancaman al Rantissi akan menjadi kenyataan jika beberapa pemimpin Hamas bersetuju untuk mengadakan hubungan langsung dengan objektif dan serangan al Qaeda ke atas Israel, Yahudi dan Amerika.
Dalam apa-apa halpun, kesan yang pasti terjadi akibat pembunuhan ini adalah Hamas akan menjadi lebih radikal. Perlu diingatkan tentang pembunuhan Ismail Abu Shanab oleh Israel pada musim panas 2003-pemimpin Hamas yang berkaliber dan pragmatic- telah menyebabkan Hamas menjadi lebih radikal. Manifestasi terbaru tentang keradikalan pergerakan itu merupakan pilihan AL-Rantissi-dianggap sebagai pemimpin Hamas paling radikal yang enggan menerima sebarang kompromi dengan Israel.
Kesimpulan
Pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin tidak syak lagi merupakan titik tolak perubahan dalam pergolakan Arab-Israel dan konflik Barat-dunia Islam. Penjajahan ke atas tanah suci Islam, sokongan terhadap “ketua Negara zalim yang berlagak baik” dan lagi pembunuhan seorang ikon Islam secara tidak berperikemanusiaan, sudah tentu menyemarakkan keradikalan di Timur Tengah dan menghentikan suara-suara yang menyeru kepada kesederhanaan.
Bagi jutaan Muslim, Syeikh Yassin ialah symbol penentangan, ketakwaan dan pengorbanan diri. Lebih menarik lagi, penentangannya memberikan kesan berpanjangan kepada dunia Islam yang di mana menjangkaui keadaan fizikalnya yang lemah dan lumpuh. Mungkin pembunuhannya ini ialah seruan kepada seluruh umat Islam untuk bangkit daripada tidur nyenyak mereka. Semua harus mengingat kembali bagaimana pembunuhan Syeikh Abdullah Azzam di Peshawar, Pakistan pada 1989, menyebabkan Arab-Afghan menjadi radikal serta penubuhan al-Qaeda. Sesungguhnya, syahid yang hidup selalunya akan kembali menghantui penentang mereka yang zalim.
Kareem M. Kamel ialah seorang penulis bebas Mesir yang bertapak di Kaherah, Mesir. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam Hubungan Antarabangsa dan membuat pengkhususan dalam pengajian keselamatan, proses membuat keputusan, perang nuclear, politik Timur Tengah, dan politik Islam. Beliau sekarang menjadi pembantu di Jabatan Sains Kemanusiaan di Universiti Amerikan di Kaherah.
Saamir Khuwairah (wartawan www.islam-online.net) yang telah menemuramah Ir. Farid Ziadah yang pernah mendiami sel penjara bersama as-syahid Syeikh Ahmad Yassin.
Terjemahan oleh Maslee Malik


Sumber : 
http://dakwah.info/palestin/pengalaman-semasa-di-penjara-zionis-bersama-syeikh-ahmad-yasin/