Dia mengutus kedewasaan
Dari jauh, bersama lajur impian
Yang kian teguh
Sedang aku hanya membalasnya
Dengan sekuntum teluki
– cukuplah sekadar warna
kalau pun tidak kerana harumnya –
Tulisku di atas kartu
Lewat malam yang dibasahkan pilu.
Pada suatu hari lain yang gelita
Dia menyalakan sebatang lilin cinta
Yang tiba-tiba terpadam oleh angin sengsara
Sejak itu, aku akan mendengar
Titis air matanya jatuh
Di beranda puisiku.
Masih setia rupanya dia
Menukil syahadah dengan
Tinta berdarah
“Koyaklah bajuku
Jadikan hamparan di daerah kalbu.”
Kali terakhir
Aku melihat rindunya merah, ketika
Dia mengibar bendera kepadaku
Sebelum memasuki ketuhar perang
Yang dimarakkan oleh api
Permusuhan.
Sebelum fajar, aku ditusuk
Haruman.
Lihat itu, dia sudah terlena
Di katil perjuangan.
Penulis :
Tuah Sujana
Dewan Sastera Mei 2008
15 Mac 2008
Besut, Terengganu.
No comments:
Post a Comment