Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.
Salahuddin al Ayubi
Stanley
Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai
anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain
tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi
orang
hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau
bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar
pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya
untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik
Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa
itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di
bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke
Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan
(Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan
firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu.” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila
Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah
telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang
tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh.
Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin
sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya
telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur
kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala
kesenangannya. (Bahauddin,1234)
Bahkan
Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah
cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani
hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup
senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada
tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu
untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang
kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah
menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin
untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan
dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran
Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin
telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk
berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk
perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh
tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid
dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap
kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian.
Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada
duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang
menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Siapa
sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah
memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumoukan seluruh
perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan
anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari
satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan
tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia
juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang
mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika
ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor
peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya
makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia
tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin
Satu
siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin
dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya
pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam
peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di
tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain
yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron
dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib
berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha
dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera
Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat
tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara
salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera
Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan,
timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Kepada Islam
Peperangan
Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan
semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah
Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.
Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke
hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk
membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci
dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut
bela Muhammat atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal
kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.
Raja
Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana
menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan
mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja
membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala
batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi.”
Tindakan
Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi
Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa
belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka
dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah
kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Apabila ia
mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan
tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Muqaddis
Kemenangan
peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk
menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun
akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.
Pada
hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin
telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam
catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengang. Ramai
orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan
orang-prang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya
ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari
Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin.
Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu
Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas
90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul
Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan.
Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah
sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat
penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat
jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian
pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati
Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah
menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika
orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab,
menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan
hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang
yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang
tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole
juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada
pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma.
Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan
di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar
tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari
pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah
Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya
Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian
ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah
tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda
di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar
dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah
ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan
orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian
gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat
bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik
oleh Salahuddin.
Lane-Poole
juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui
mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang
penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin
di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang
Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada
tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin
dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari
kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan
tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka
bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja
dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja
Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis,
Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah
bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa
pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan
kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan
oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan
ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak
menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat
perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin
adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di
bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole
telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang
telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada
bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan
orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M,
keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre
ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini
walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang
Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat
senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of
Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar
telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk
mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau
bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian
pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi
Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya
Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah
ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan
Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang
menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk
menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh
di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti,
tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam
peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah
menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin
memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir,
Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang
Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum
tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan
daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada
tahun 1192.
Lane-Poole
juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia
mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam
majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa
yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam
majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat
lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha.
Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan.
Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa
pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan
ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Wafatnya Salahuddin
Pada
hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas
berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai
hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia
jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang
yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia
nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang
pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin.
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang
lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan
sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah,
tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata”
(Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya
berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas
ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini
ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya
Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu
dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang,
tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta
yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya
terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan
kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
Salahuddin yang Wara’
Bahauddin
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan
kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak
pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan
ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam.
Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah
saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan
hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya
ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di
belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah
tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal
sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak
mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan
menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang
memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang
perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin
juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa
Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil.
Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya
dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat
sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia
membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin
teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah
berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah
menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia
sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap
kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga
3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian
sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan
hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya
duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia
akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan
hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia
berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis
dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman
hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh
Suhrawady yang membawa ajaran sesat.
Salahuddin
sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan
segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada
satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak
dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian.
Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci
itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan,
“Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa
malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta
supaya ia berehat tetapi jawanya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah
tidur sejenak”. Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi
mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak
tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya,
“Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia
bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”
Aku
menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke
masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba
di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah
saw pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis
doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau
bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan “Ya Tuhanku, aku telah
kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku
menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh
menolongku dalam keadaan yang genting ini.”
Aku
mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan
doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di
sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air
matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak
tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya
dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara
musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari
kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke
Ramla pada hari Isnin pagi.”
Perangai Salahuddin
Siapa
yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat
kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar
dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu,
iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh
pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa
dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan
mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil
dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah
membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat
orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan
kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah
membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan
segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam
ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin
sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu
didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah
dan beberapa pemberian yang lain.
Ia
adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan
sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan
kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka
melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan
kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah
meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan
kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati
kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa
menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas
mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak
panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya
menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum
benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada
khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu
cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin
juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat
pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru
ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah
berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah
Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan
senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan
hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya
Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk
digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah
negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya
wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan
dirinya”.
Salahuddin
tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau
sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu
seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya
dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan
menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan
buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja
inggeris itu sakit.
Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat
mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan.
Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya.
Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil
menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya
mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh
mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita
perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan
pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama
kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira
mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin
juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak
yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada
orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan
menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat
kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan
penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang
sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat
Ketika
mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap
sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun
demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan
tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan
sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku
apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam
ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit
tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata
Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak
dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan
menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke
medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan
doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh
berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah
selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.
Dalam
kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh
menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan
perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua
kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah
tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke
atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima
tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama
beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar
bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar
perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan
kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.
Salahuddin
tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk
menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga
600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh
lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh
dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih
dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu
petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin.
Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak
besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut.
Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah
sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin
bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali
sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh
telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000
mayat-mayat.
Bahauddin
ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari
Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa
yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini
di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini
kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku
ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau
dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada
orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.
Salahuddin Sebagai Ulama’
Salahuddin
memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap
suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui
sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar
mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan
utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu
penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal
syair-syair Arab.
Lane-Poole
juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan
gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta
sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir
Qur’an
No comments:
Post a Comment