Memperingati Masjid
Al-Aqsa dibakar
TANGGAL 21 Ogos
merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa
tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam atau lebih dikenali dengan OIC lahir
kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?
Pada 21 Ogos 1969,
seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar
Masjid Al- Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang
besar (mimbar Solahuddin).
Api marak dengan dahsyat
sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan
pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan. Tetapi Allah s.w.t telah
menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.
Setelah itu orang-orang
Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa
bahawa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian
dengan berita dari Kitab Zakaria.
Apa yang menyedihkan
kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan ‘gila’, dengan
kata lain, tidak waras.
Maka, atas sebab itu,
Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak
insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit
mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.
Maka sejak itu, 21 Ogos
tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda
memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.
Tragedi tersebut
merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam.
Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.
Tidak menghairankan
apabila semua umat Islam seluruh dunia ‘terbakar’ hati dan perasaan mereka
kerana tindakan Rohan, 48 tahun lalu. Begitulah nasib Tanah suci umat Islam
yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.
Perlu diingatkan, isu
Masjid Al-Aqsa ini ada hubung kait dengan hal-hal Palestin. Maka selayaknya,
isu Palestin ini merupakan isu yang dipertanggungjawabkan bagi sekalian umat
Islam. Satunya kerana, kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai Tanah Suci ketiga dalam
Islam. Selebihnya ia merupakan kiblat pertama umat Islam selain menjadi bumi
didiami para Nabi serta pusat pemerintahan dunia Islam seperti yang dirakamkan
dalam hadis Rasulullah.
Bagi masyarakat bukan
Islam, isu Palestin menggambarkan ketidakadilan dan kezaliman rejim terhadap
bangsa Palestin yang perlu sama-sama dibela dan diperjuangkan.
Hari ini Palestin berada
dalam tangan rejim Zionis yang telah merampasnya daripada tangan umat Islam.
Akibatnya, umat Palestin
telah dihalau keluar, dizalimi, ditindas, dikambinghitamkan, dipenjarakan dan
dibunuh. Nasib yang melanda umat Islam Palestin memerlukan pembelaan dari
seluruh umat Islam.
Sebagai usaha pembelaan
dan kepedulian, maka Hari Memperingati Al-Quds atau Remembrance of Al-Quds
(ROQ) merupakan sebuah gagasan yang menjadi simbol solidariti umat Islam di
Malaysia terhadap umat Palestin. Manakala diperingkat Mesir sebuah unit khas yang diberi nama Unit Kempen Prihatin Palestin dibawah kelolaan Unit Kebajikan PERUBATAN Cawangan Zagazig telah ditubuhkan yang bertujuan untuk menyedarkan masyarakat Islam tentang kepentingan Palestin.
Menghulurkan
Pelbagai kegiatan boleh
dijalankan untuk menghebahkan tentang isu Palestin dan kedudukan Palestin dalam
hati umat Islam serta soal penindasan di Masjid Al-Aqsa. Kita berharap program
ini akan menggerakkan masyarakat supaya sedar lalu terpanggil untuk
menghulurkan sumbangan dan mempersiapkan diri mereka dengan segala pertahanan
dan kecemerlangan sebagai umat yang terbaik.
Episod duka Palestin
ini, ditambah dengan penindasan dan kezaliman yang tidak henti hingga ke saat
ini hakikatnya menuntut sokongan dan bantuan semua, seluruh lapisan masyarakat
dunia.
Malah, 21 Ogos hadir
setiap tahun mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tidak mempertahankan tanah
suci Palestin dan Masjid Al-Aqsa, kelak, kita bukan sahaja tidak dapat
mempertahankannya daripada sekadar dibakar, malah keseluruhannya cenderung
untuk dirampas secara terus lagi haram oleh rejim Zionis.
Justeru, bersempena
Sambutan Memperingati Hari Al-Quds Sedunia tahun ini, adalah amat wajar untuk
kita sama- sama mengajak masyarakat sekeliling memperingatinya, apatah lagi
merencana langkah strategik, efektif dan praktikal lagi kreatif demi menyumbang
ke arah pembebasan Palestin.
Sementara itu, antara
aktiviti-aktiviti untuk menyemarakkan sambutan ini ialah ceramah umum, seminar,
demonstrasi damai, penerbitan filem, buletin, cakera padat video (VCD),
persembahan seni seperti teater, nasyid, dan festival seni dan pameran
kesedaran di tempat awam yang strategik di masjid-masjid, sekolah-sekolah
termasuk gedung membeli-belah dan sebagainya.
Sumber :
No comments:
Post a Comment